Siakap Keli
Majikan Di 3 Sektor Dikesan Paling Liat Daftar, Carum Perkeso
Gambar Hiasan

Majikan Di 3 Sektor Dikesan Paling Liat Daftar, Carum Perkeso

Majikan Di 3 Sektor Dikesan Paling Liat Daftar, Carum Perkeso

KUALA LUMPUR- Majikan daripada tiga sektor yang dikesan paling liat menjelaskan caruman pekerja digesa mengambil peluang sempena Bulan Pemutihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Saranan itu dibuat selepas penelitian mendapati sektor penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan serta minuman mencatatkan kadar ketidakpatuhan tertinggi, dengan jumlah kompaun dan pendakwaan mencecah 880 kes, bagi tempoh sejak tahun lalu.

Dua lagi sektor ialah aktiviti perkhidmatan lain seperti premis penyelenggaraan kenderaan dan salun kecantikan dengan 658 kes, selain sektor pengeluaran (590 kes), bagi tempoh sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata majikan yang tampil mendaftar secara sukarela sepanjang bulan pemutihan dari 1 hingga 30 April ini akan DIKECUALIKAN daripada tindakan kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).

“Kesempatan satu bulan ini dikira peluang terakhir untuk majikan mendaftar pekerja masing-masing dan jelaskan caruman tertunggak sebelum PERKESO menjalankan penguatkuasaan tanpa sebarang kompromi di seluruh negara,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Selari prinsip keadilan keselamatan sosial, Dr. Mohammed Azman berkata liputan perlindungan PERKESO dalam kalangan pekerja asing aktif meningkat 5.5 peratus, meliputi 120,608 pencarum baharu setakat Februari lalu, berbanding tempoh sama pada 2024.

Katanya, lonjakan itu antara lain didorong kesan pelaksanaan ‘Ops Pekerja Asing’ oleh PERKESO sejak penghujung tahun lalu.

“Bersandarkan rekod pendaftaran semasa PERKESO, kita dapati pengambilan tertinggi pekerja asing berlaku di sektor pengeluaran dengan 24 peratus, disusuli pembinaan (17 peratus) dan aktiviti perkhidmatan lain (11 peratus) daripada keseluruhan 527,698 individu.

“Justeru, majikan di sektor ini juga disaran memanfaatkan bulan pemutihan bagi terus mendaftar dan menjelaskan caruman pekerja asing mereka bagi mengelak sebarang tindakan perundangan.

“Ini demi menjamin tiada jurang keadilan sosial dalam kalangan pekerja asing di Malaysia,” katanya.

Sekiranya majikan gagal mendaftar dan mencarum pekerja, Dr. Mohammed Azman berkata mereka bakal berdepan tindakan pendakwaan dan kompaun mencecah RM5,000.

Sejak 2019 hingga 2024, jelasnya, sebanyak 15,922 notis kompaun dengan nilai sebanyak RM11.91 juta dikeluarkan kepada majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 13,215 kes didakwa di bawah kedua-dua Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Akta 800) atas pelbagai kesalahan.

“Untuk makluman, berdasarkan perangkaan PERKESO sehingga Februari lalu, hampir 1.64 juta majikan berdaftar menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), namun majikan aktif mencarum, iaitu sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan adalah 641,631 majikan.

“Jumlah pekerja aktif pula (sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan) hampir 10 juta orang,” katanya.

PERKESO menyarankan semua majikan yang layak tetapi belum berdaftar untuk daftar segera melalui Portal ASSIST, kunjungi mana-mana 54 pejabat PERKESO seluruh negara atau hubungi Careline 1-300-22-8000.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.