Siakap Keli
MOU Antara MCMC Dengan MARA Tingkatkan Kualiti Capaian Internet Di Institusi Pendidikan MARA Seluruh Negara
Sumber: Bernama

MOU Antara MCMC Dengan MARA Tingkatkan Kualiti Capaian Internet Di Institusi Pendidikan MARA Seluruh Negara

MOU Antara MCMC Dengan MARA Tingkatkan Kualiti Capaian Internet Di Institusi Pendidikan MARA Seluruh Negara

Kuala Lumpur, 10 April 2025 – Kementerian Komunikasi, menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) hari ini.

Kerjasama ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara MCMC dan MARA dalam usaha meningkatkan kualiti capaian Internet di institusi pendidikan MARA seluruh negara.

Institusi yang terlibat termasuk:

  • Maktab Rendah Sains MARA (MRSM)

  • Institut Kemahiran MARA (IKM)

  • Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM)

  • MARA-Japan Industrial Institute (MJII)

  • Kolej Poly-Tech MARA (KPTM)

  • Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM)

  • Kolej Profesional MARA (KPM)

  • Kolej MARA

  • Universiti Kuala Lumpur (UniKL)

  • German-Malaysian Institute (GMI)

  • GIATMARA

Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan memudahkan proses pembelajaran pelajar MARA, malah membolehkan mereka memanfaatkan kemudahan Internet dalam urusan harian. Ia juga dijangka akan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian awam di semua institusi di bawah MARA.

Selain itu, kerjasama antara MCMC dan MARA turut melibatkan pelaksanaan Kempen Internet Selamat, iaitu program kesedaran dengan modul baharu yang direka khusus untuk warga kerja dan pelajar institusi pengajian tinggi. Ia juga merangkumi khidmat konsultasi bagi penambahbaikan liputan mudah alih dan jalur lebar berasaskan gentian optik, serta penerokaan teknologi di kawasan yang masih mempunyai liputan rendah.

Inisiatif ini turut memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan melalui penerapan budaya ICT dan e-dagang, selain program peningkatan kompetensi serta penyelidikan dalam bidang keselamatan siber bagi melahirkan tenaga mahir yang memenuhi keperluan industri digital masa kini.

Sebagai langkah permulaan untuk memastikan liputan Internet yang berkualiti tinggi, MCMC telah menjalankan semakan status liputan di Kolej Profesional MARA (KPM) Ayer Molek. Pada penghujung tahun lalu, sebuah pelan tindakan khas telah dilaksanakan oleh pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi, termasuk pemasangan Portable Base Station bagi liputan sementara. Sebuah menara tetap turut akan dibina bagi menyediakan liputan menyeluruh di kawasan tersebut.

Pertukaran MoU ini diharap dapat memperkukuh infrastruktur digital MARA, memastikan capaian Internet yang lebih baik di premis-premis MARA, dan menyokong pelaksanaan sistem telekomunikasi yang lebih efisien. Di samping itu, MoU ini turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan digital MARA yang berpengetahuan dalam ICT, e-dagang dan keselamatan siber, serta celik siber dan bersedia menghadapi cabaran dunia digital masa hadapan.

Majlis pertukaran MoU ini telah disaksikan oleh beberapa tokoh penting negara, antaranya Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YB Datuk Hajah Rubiah binti Wang; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa; Pengerusi Eksekutif MCMC, YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; serta Pengerusi MARA, YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.