Siakap Keli
pengamal perubatan kkm
Kredit: Bernama

Pengamal Perubatan Diingatkan Tidak Keluar Kenyataan Mengelirukan – KKM

Pengamal Perubatan Diingatkan Tidak Keluar Kenyataan Mengelirukan – KKM

PUTRAJAYA, 10 April (Bernama) — Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan pengamal perubatan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan awam yang boleh mengelirukan atau membina salah tanggap hingga boleh menjejaskan reputasi profesion perubatan.

Dalam kenyataan hari ini, KKM memaklumkan pengamal perubatan yang tidak mempunyai kelayakan dan Sijil Perakuan Amalan Tahunan (APC) yang sah atau tidak berdaftar sebagai pakar perubatan dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) bagi bidang kepakaran tertentu, tidak boleh mengamalkan dan memberikan diagnosis serta rawatan ke atas pesakit.

“Mana-mana pengamal perubatan yang didapati menyalahi tatacara amalan perubatan boleh diambil tindakan di bawah Akta Perubatan 1971.

“Pelanggaran kepada peruntukan di bawah Akta 50 adalah suatu kesalahan dan seorang pengamal perubatan yang didapati membuat kesalahan tersebut boleh digantung atau dibatalkan pendaftaran sebagai pengamal perubatan,” menurut kenyataan tersebut.

KKM turut mengingatkan pengamal perubatan kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya jika disabitkan.

KKM mengeluarkan kenyataan tersebut bagi mengulas dakwaan seorang pegawai perubatan swasta bahawa kecederaan saraf tulang belakang yang dialami penjaja belon Muhammad Zaimuddin Azlan, 28, atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon’ berisiko menyebabkannya lumpuh.

Penjaja belon tersebut sebelum ini membuat laporan polis mendakwa dikasari penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 28 Mac lepas hingga menyebabkan kecederaan.

KKM memaklumkan Muhammad Zaimuddin telah diberi perhatian perubatan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang dan mendapat diagnosis serta rawatan yang diperlukan menurut protokol perubatan yang berkuat kuasa.

“Temu janji seterusnya juga telah ditetapkan dan beliau boleh meneruskan sebarang rawatan yang ditentukan perlu dan wajar oleh pakar perubatan yang bertanggungjawab,” menurut kenyataan tersebut.

Oleh itu, KKM turut mengingatkan orang ramai bahawa hanya pengamal perubatan yang bertauliah boleh memberikan perhatian perubatan, diagnosis dan rawatan untuk apa-apa penyakit.

“Di samping itu, kecederaan yang melibatkan tulang belakang dan saraf tunjang harus diperiksa dan dirawat oleh pakar otot rangka (ortopedik) dan pakar bedah saraf (neurosurgery) yang bertauliah sahaja,” menurut KKM.

KKM turut menegaskan dalam sektor swasta, tiada sesiapa boleh menubuhkan atau mengendalikan kemudahan jagaan kesihatan tanpa lesen yang sah, termasuk klinik perubatan kerana ia merupakan kesalahan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Sumber: Bernama

BACA: Guru Guna AI Tunjuk Masa Depan Impian Setiap Murid

BACA: Lima Warga Pakistan Terima Penghargaan Selepas Selamatkan Mangsa Kebakaran Paip Gas

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.