Tiada Aduan Diterima KPDN Sepanjang Pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2025
Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 telah dilaksanakan pada 24 Mac 2025 hingga 7 April 2025 bertujuan untuk menstabilkan kenaikan harga yang tidak berpatutan akibat permintaan yang tinggi semasa musim perayaan.
Tempoh pelaksanaan ialah selama 15 hari iaitu 7 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 7 hari selepas perayaan. Sebanyak 26 jenis barangan telah dikawal bawah SHMMP Hari Raya Puasa 2025.
Sepanjang pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2025, sebanyak 7,258 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negara merangkumi 158 pemeriksaan ke atas premis borong dan pengeluar serta 7,097 pemeriksaan ke atas premis runcit. Sepanjang tempoh kuat kuasa skim, sebanyak 386 tindakan kes telah diambil terhadap peniaga yang ingkar.
Tindakan ini melibatkan sitaan bernilai RM12,813.84 serta jumlah kompaun sebanyak RM43,400.00 telah dikeluarkan. Kesemua 386 tindakan kes yang dihasilkan ini melibatkan kesalahan menjual melebihi harga maksimum, gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu dan gagal meletakkan tanda harga.
Berdasarkan pemantauan dan penguatkuasaan KPDN serta maklum balas orang ramai, pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2025 telah berjalan dengan baik dan lancar. Kementerian tidak menerima sebarang aduan semasa pelaksanaan SHMMP kali ini. Majoriti peniaga yang diperiksa komited serta mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuatkuasa sepanjang pelaksanaan skim ini.
KPDN juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi di bawahnya, pihak industri dan keseluruhan peniaga atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2025.