Kementerian Digital Melalui MBI, MDEC, MyDigital & DNB Salur Bantuan Peranti Hampir RM300,000 Kepada Mangsa Putra Heights
Putra Heights, 11 April 2025 – Kementerian Digital telah menyalurkan sumbangan peranti elektronik bernilai anggaran RM300,000.00 kepada mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya. Inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban mangsa yang kehilangan atau mengalami kerosakan pada peranti elektronik mereka.
Inisiatif ini diterajui oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Digital, termasuk
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MyDigital Corporation, dan Digital Nasional Berhad (DNB), yang memainkan peranan utama dalam mengumpul barangan sumbangan.Antara peranti elektronik yang disumbangkan termasuk 500 unit ‘power bank’, 150 unit bag sekolah dan alat tulis, 100 unit tablet, 138 unit komputer riba, 4 unit mesin cetak, serta pelbagai barangan lain.
Semasa lawatan Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo, ke Pusat Pemindahan
Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights sebelum ini, beliau dimaklumkan bahawa ramai mangsa kehilangan peranti elektronik seperti telefon pintar dan komputer riba yang menjadi keperluan utama dalam kehidupan harian mereka.
Barangan peranti elektronik ini telah disumbangkan oleh MDEC, Payments Network Malaysia (PayNet), Kiddocare Sdn Bhd, Huawei Malaysia, PIKOM, Sri Computers Sdn Bhd, Dell Technologies, Jirnexu Malaysia Sdn Bhd, Lenovo Malaysia, Ant International, Acer Malaysia serta penderma-penderma persendirian.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor; Anuar Fariz Fadzil, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC; serta barisan pengurusan tertinggi penyumbang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights. Agihan barangan pada hari ini telah diuruskan oleh Menteri Besar Incorporation (MBI).