SJKP MADANI: Inisiatif Pemilikan Rumah Mampu Milik Untuk Semua Golongan
Dalam usaha memperkasa rakyat Malaysia untuk memiliki kediaman sendiri, terutamanya mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap, kerajaan melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) telah memperkenalkan satu skim pembiayaan yang inklusif dan progresif dikenali sebagai Skim Jaminan Kredit Perumahan MADANI (SJKP MADANI).
Skim ini diwujudkan bagi membuka ruang kepada lebih ramai rakyat Malaysia, termasuk pekerja gig, peniaga kecil, dan mereka yang bekerja sendiri, untuk memiliki rumah impian yang selama ini mungkin hanya tinggal angan-angan akibat kekangan kelayakan pembiayaan konvensional.
Matlamat Skim SJKP MADANI
Skim ini diwujudkan sebagai satu bentuk sokongan kewangan yang unik dan menyeluruh kepada golongan yang sukar mendapatkan pinjaman perumahan daripada institusi kewangan biasa.
Menerusi jaminan kerajaan, individu yang layak boleh memohon pinjaman perumahan tanpa perlu bimbang akan kekangan syarat gaji tetap atau penyata pendapatan bulanan seperti dalam sistem perbankan tradisional.
Ciri-Ciri Menarik Pembiayaan SJKP MADANI
1. Tujuan Pembiayaan yang Menyeluruh
Pembiayaan di bawah skim ini merangkumi tujuan gadai janji. Iaitu untuk membeli rumah kediaman sama ada yang baharu, rumah sedia ada, atau rumah lelongan.
Skim ini turut membenarkan pembiayaan bagi kos sampingan seperti yuran guaman, perlindungan insurans/takaful, kerja ubah suai, dan pembelian perabot – menjadikannya satu penyelesaian yang lengkap.
2. Had Pembiayaan Sehingga RM360,000
Peminjam boleh mendapat pembiayaan sehingga RM360,000 termasuk pembiayaan penuh harga rumah serta kos berkaitan seperti perlindungan insurans (MRTA/MRTT), perlindungan rumah (LTHOT), yuran profesional, kerja pengubahsuaian dan juga pembelian perabot.
Ia memberikan fleksibiliti kepada pembeli rumah pertama untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa tanpa beban kewangan tambahan.
3. Tempoh Pembiayaan yang Fleksibel
Skim ini membenarkan tempoh pembiayaan sehingga 35 tahun atau mengikut tempoh maksimum pinjaman, bergantung pada mana yang lebih awal.
Menariknya, ia juga membenarkan pinjaman dua generasi, di mana pembiayaan boleh dikongsi antara dua generasi keluarga.
Misalnya antara ibu bapa dan anak. Ini bertujuan untuk meningkatkan daya kelayakan dan bayaran balik pinjaman.
4. Jaminan Pembiayaan Melebihi Harga Rumah
Salah satu keistimewaan skim ini ialah jaminan pembiayaan sehingga 120% daripada harga rumah kediaman.
Daripada jumlah itu, sehingga 100% adalah bagi harga rumah itu sendiri, manakala tambahan 20% lagi digunakan untuk menampung kos-kos berkaitan pembelian rumah seperti perlindungan takaful, kos guaman dan ubah suai.
Ia sekaligus membantu meringankan beban kewangan pemohon yang biasanya memerlukan modal tambahan untuk proses pemilikan rumah.
5. Kadar Faedah yang Dikawal oleh Institusi Kewangan
Kadar faedah atau kadar keuntungan pembiayaan ini adalah tertakluk kepada kadar yang ditetapkan oleh institusi kewangan yang mengambil bahagian dalam skim ini.
Ini membolehkan pemohon membuat perbandingan kadar dan memilih pakej yang paling bersesuaian dengan kemampuan mereka.
BACA : 12 Tabiat Yang Berisiko Merosakkan Buah Pinggang
Syarat Kelayakan yang Realistik dan Mesra Rakyat
SJKP MADANI bukan hanya terbuka kepada mereka yang bekerja sendiri atau dalam sektor informal. Ia juga turut menerima permohonan daripada individu yang berpendapatan tetap. Antara syarat utama kelayakan termasuk:
- Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
- Terbuka kepada pembeli rumah kali pertama, sama ada untuk rumah baru, rumah sedia ada atau rumah lelongan.
- Pemohon tidak boleh mempunyai rekod tunggakan CCRIS melebihi dua bulan dalam tempoh 12 bulan terkini.
- Tiada rekod kredit negatif dalam tempoh dua tahun terakhir.
- Nisbah bayaran balik pinjaman keseluruhan tidak melebihi 65% daripada pendapatan kasar bulanan.
Dengan syarat-syarat yang lebih longgar dan fleksibel ini, ia memberi peluang sebenar kepada golongan yang sebelum ini terpinggir daripada akses pembiayaan untuk memiliki rumah sendiri.
Cara dan Proses Permohonan SJKP

Dokumen Yang Perlu Disediakan
Bagi memastikan kelancaran proses permohonan, pemohon perlu menyediakan beberapa dokumen asas termasuk:
- Dokumen kediaman: seperti salinan perjanjian jual beli, borang tempahan, atau resit bayaran pendahuluan.
- Dokumen pendapatan: seperti penyata akaun bank terkini, penyata cukai pendapatan, penyata KWSP atau surat pengesahan pekerjaan.
- Dokumen sokongan lain: salinan kad pengenalan, surat pengesahan daripada pihak berautoriti (jika ada), lesen perniagaan atau bukti bekerja sendiri seperti surat akuan daripada JKKK atau pegawai kerajaan.
Kesimpulan: Langkah Progresif ke Arah Pemilikan Rumah Mampu Milik
SJKP MADANI merupakan antara inisiatif terbaik kerajaan dalam memastikan tiada golongan yang tercicir dalam usaha memiliki rumah kediaman sendiri.
Dengan pendekatan inklusif, syarat kelayakan yang fleksibel dan sokongan pembiayaan yang menyeluruh, skim ini bukan sahaja membantu menyelesaikan masalah tempat tinggal, malah meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Sekiranya anda tergolong dalam kategori berpendapatan tidak tetap, atau bekerja sendiri dan selama ini menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan, inilah peluang keemasan untuk anda.
Ambillah langkah pertama menuju pemilikan rumah sendiri hari ini.
Untuk maklumat lanjut dan permohonan, anda boleh melayari laman rasmi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) atau hubungi institusi kewangan pilihan anda yang terlibat dalam skim ini.
BACA : Skim Perubatan MADANI: Akses Kesihatan Percuma Anda Kena Tahu