Siakap Keli
Kredit: Bernama

Senarai Tokoh Bersemadi Di Makam Pahlawan Masjid Negara

Senarai Tokoh Bersemadi Di Makam Pahlawan Masjid Negara

Makam Pahlawan yang terletak di bahagian barat kompleks Masjid Negara merupakan tempat persemadian negarawan dan negarawati Malaysia. Kompleks ini telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan pada 2007.

Mempunyai dua bahagian, bahagian dalam makam ini dilindungi bumbung berbentuk bintang dengan tujuh bucu. Manakala bahagian luar makam ini merupakan kawasan terbuka dengan beberapa ruang makam yang menjadi tempat persemadian Menteri dan tokoh-tokoh lain.

Bahagian lantai di dalam makam ini dilitupi batu marmar berwarna putih. Manakala di bahagian tengah pula, Jata Negara yang diperbuat daripada batu marmar berwarna hitam menjadi tumpuan dengan tujuh makam mengelilinginya.

Masih mempunyai dua ruang kosong, makam-makam ini telah menempatkan tiga bekas Perdana Menteri dan dua bekas Timbalan Perdana Menteri. Mantan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein. Allahyarham telah menggalas tanggung jawab besar ini bermula 1970 hingga nafas terakhir dan dimakamkan di sini pada 1976.

Pada tahun 1990, Allahyarham Tun Hussein Onn pula dimakamkan di sini. Beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia Ketiga yang mula bertugas pada 1976 hingga 1981.

Hari ini, 15 April 2025, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dimakamkan di bahagian ini. Perdana Menteri Malaysia Kelima ini memegang tampuk pemerintahan dari 2003 hingga 2009.

Selain Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri juga dimakamkan di bahagian ini. Allahyarham Timbalan Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang menjalankan tugas selama tiga tahun, dari 1970 hingga 1973 disemadikan di bahagian dalam Makam Pahlawan Masjid Negeri.

Selain beliau, Allahyarham Tun Ghafar Baba iaitu Timbalan Perdana Menteri Malaysia Kelima juga disemadikan di sini pada tahun 2006. Beliau memegang jawatan ini sejak 1986 hingga 1993.

Pasti anda tertanya-tanya, siapa pula tokoh yang dimakamkan di bahagian luar?

Untuk pengetahuan anda, setakat ini seramai 15 orang tokoh telah disemadikan di bahagian luar Makam Pahlawan Masjid Negara. Berikut SK senaraikan nama-nama tokoh negarawan dan negarawati yang dimakamkan di sana.

Pada tahun 1977, Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Syed Hassan Albar menjadi negarawan pertama yang dimakamkan di bahagian luar Makam Pahlawan. Selepas itu, Allahyarham Tun Syed Nasir Syed Ismail pula disemadikan pada 1982. Selepas tiga tahun pemergiannya, sekali lagi negara menyaksikan pemakaman negarawan di bahagian tersebut. Allahyarham Tun Sardon Haji Jubir dilaporkan meninggal dunia dan dimakamkan pada tahun 1985.

Masuk ke zaman 1990-an, dua tokoh negarawan disemadikan iaitu Allahyarham Tan Sri Haji Mohamed Noah Omar pada 1991 dan Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Yusof pada 1992.

14 tahun kemudian, Allahyarham Tan Sri Dato Mohamed Khir Johari pula dikebumikan di sana.

Mengimbau kembali sejarah, tahun 2010 merupakan tahun berduka buat negara. Seramai lima orang tokoh negara meninggalkan kita dengan Allahyarhamah Tun Tan Sri Dr Fatimah Hashim sebagai wanita pertama yang disemadikan di Makam Pahlawan. Empat lagi tokoh negara yang dikenal pasti termasuk Allahyarham Jeneral (B) Tun Ibrahim Dato Ismail, Allahyarhamah Toh Puan Norashikin Mohd Seth, Allahyarham Tun Dato Haji Omar Ong Yoke Lin dan Tun Dato Seri Dr Muhammad Ghazali Shafie.

Selang dua tahun, Allahyarham Tan Sri Hamzah Datuk Abu Samah pula dikebumikan, diikuti isteri kepada Perdana Menteri Ketiga, Allahyarhamah Tun Suhailah Tan Sri Mohamed Noah pada tahun 2014. Tahun 2015 pula negara menyaksikan pengebumian seorang lagi tokoh negara, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Mohd Jarjis.

Kali terakhir negara menyaksikan tokoh negarawati dikebumikan di bahagian luar Makam Pahlawan Masjid Negara ialah pada tahun 2020 apabila isteri kepada Perdana Menteri Kedua, Tun Hajah Rahah Tan Sri Mohamed Noah menghembuskan nafas terakhirnya. Tun Rahah juga disemadikan bersebelahan pusara kakaknya, Tun Suhailah.

Sumber: Malaysia Traveller, 501Awani, Jabatan Warisan Negara

BACA: PM Anwar Beri Penghormatan Terakhir Kepada Tun Abdullah Di Masjid Negara

BACA: Tun Abdullah Berjasa, Beri Bantuan Kepada Pesakit Kanser – Hisham

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.