Siakap Keli
Ini Sebab Kenapa Staf Hilang Rasa Hormat Pada Ketua
Gambar AI

Ini Sebab, Punca Staf Hilang Rasa Hormat Pada Ketua

Ini Sebab, Punca Staf Hilang Rasa Hormat Pada Ketua

Dalam sesebuah organisasi, peranan ketua atau pemimpin bukan sekadar memberikan arahan atau memastikan sasaran tercapai.

Lebih dari itu, ketua berfungsi sebagai contoh teladan, pembimbing dan sumber inspirasi kepada pasukan.

Namun begitu, ada kalanya tanpa disedari, tindakan atau sikap tertentu boleh menyebabkan rasa hormat kakitangan terhadap ketua semakin pudar.

Apabila kepercayaan dan penghormatan mula goyah, suasana tempat kerja boleh menjadi tegang, motivasi menurun, dan prestasi keseluruhan pasukan turut terjejas.

Oleh itu, penting untuk para ketua mengenal pasti dan menjauhi amalan-amalan yang boleh menjejaskan hubungan mereka dengan kakitangan.

Berikut merupakan sebab-sebab kenapa staf mula hilang rasa hormat pada ketua. Beberapa sikap ini berpotensi besar menjejaskan penghormatan dan kepercayaan terhadap kepimpinan:

1. Kepimpinan yang Tidak Konsisten

Pemimpin yang kerap berubah pendirian, tidak berpegang pada prinsip atau membuat keputusan secara tergesa-gesa tanpa mempertimbangkan pandangan pasukan akan dilihat sebagai tidak stabil.

Sikap sebegini boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan staf dan menjejaskan keyakinan terhadap kemampuan pemimpin.

Lebih buruk lagi, ia boleh menimbulkan rasa ragu-ragu dalam kalangan pasukan sama ada hala tuju organisasi benar-benar difahami atau hanya bersifat ikut-ikutan.

Tanpa konsistensi, kepercayaan terhadap arahan dan keputusan akan mula dipersoalkan.

2. Tidak Menjadi Teladan yang Baik

Pemimpin sepatutnya menjadi contoh utama dalam etika kerja, disiplin dan integriti.

Jika ketua sendiri culas, suka menangguh kerja atau menunjukkan sikap sambil lewa, staf akan kehilangan rasa hormat kerana pemimpin tidak mengamalkan apa yang disarankan kepada orang lain.

Umumnya, keteladanan adalah asas kepada pengaruh positif.

Apabila pemimpin menunjukkan sikap bertanggungjawab dan berdedikasi, staf akan terdorong untuk mencontohi. Tanpa teladan yang baik, pemimpin kehilangan kredibiliti sebagai ‘role model’ kepada pasukan.

Ini 10 Sebab dan Punca Kenapa Staf Hilang Rasa Hormat Pada Ketua

3. Tidak Menghargai Sumbangan Kakitangan

Selain itu, ketika usaha dan pengorbanan staf tidak dihargai, mereka akan berasa tidak dihormati. Apatah lagi jika pemimpin mengambil kredit atas kejayaan yang diusahakan bersama tanpa memberi pengiktirafan sewajarnya kepada pasukan.

Sikap tidak menghargai ini akan melemahkan semangat kerja dan menyebabkan staf merasa seolah-olah usaha mereka sia-sia. Dalam jangka panjang, ia boleh menyebabkan kadar keluar masuk pekerja meningkat kerana kurangnya motivasi dalaman.

4. Komunikasi Bersifat Satu Hala

Pemimpin yang hanya tahu memberi arahan tanpa ruang untuk berbincang atau mendengar pendapat staf mewujudkan suasana kerja yang kaku.

Komunikasi yang sihat perlu ada dua hala. Bukan sekadar menyuruh, tetapi juga mendengar dan memahami. Apabila suara staf diabaikan, mereka akan merasakan pandangan mereka tidak penting dan ini boleh menjejaskan keterlibatan (engagement) dalam tugasan.

Pemimpin yang bijak adalah mereka yang mendengar dahulu sebelum bertindak. Sikap terbuka dalam komunikasi bukan sahaja meningkatkan kepercayaan, malah membina semangat kerja berpasukan yang lebih kukuh dan harmoni.

5. Mengamalkan Sikap ‘Pilih Kasih’

Layanan yang berat sebelah dan keistimewaan yang hanya diberi kepada individu tertentu boleh menyebabkan perpecahan dan rasa tidak puas hati dalam pasukan.

Pemimpin yang adil dan saksama akan lebih dihormati dan disegani. Sikap pilih kasih juga mewujudkan suasana toksik yang memudaratkan kerjasama antara kakitangan.

Malah, ia boleh menyebabkan mereka yang berpotensi tinggi rasa tersisih dan tidak dihargai. Dalam jangka panjang, budaya pilih kasih ini boleh menjejaskan prestasi organisasi kerana staf tidak lagi termotivasi untuk memberi yang terbaik.

6. Gagal Menangani Krisis dengan Matang

Antara lain, kebolehan pemimpin diukur ketika berdepan cabaran. Jika seorang ketua cepat melatah, menyalahkan staf atau gagal mengawal keadaan, kepercayaan terhadap kebolehannya akan berkurang secara drastik.

Staf akan berasa tidak selamat berada di bawah pimpinan yang tidak mampu menenangkan keadaan sewaktu krisis.

Malah, ia boleh menjejaskan kredibiliti organisasi secara keseluruhan jika konflik dalaman tidak ditangani dengan profesional.

BACA : Tip Jimat & Mode Guna “Aircond”, Ramai Masih Terkeliru

7. Bergosip atau Mengumpat Tentang Staf Lain

Pemimpin yang terlibat dalam perbuatan bergosip atau memburuk-burukkan staf lain kepada ahli pasukan akan dianggap tidak profesional dan tidak boleh dipercayai.

Sikap sebegini bukan sahaja merosakkan reputasi individu yang dibincangkan, malah menjatuhkan integriti pemimpin itu sendiri.

Ia menunjukkan bahawa pemimpin tidak tahu menjaga kerahsiaan dan menyemai budaya tidak sihat di tempat kerja. Kakitangan akan menjadi lebih berhati-hati, dan hubungan kerja menjadi renggang akibat ketidakpercayaan.

8. Menegur atau Memarahi Staf di Hadapan Orang Ramai

Teguran sepatutnya dilakukan secara tertutup dengan penuh hikmah. Apabila seorang pemimpin memarahi staf secara terbuka, ia boleh memalukan individu berkenaan, menjatuhkan harga diri dan seterusnya menghakis rasa hormat terhadap pemimpin tersebut.

Ini juga boleh mencetuskan rasa takut atau trauma dalam kalangan staf lain yang menyaksikan kejadian tersebut.

Suasana kerja menjadi tegang dan tidak kondusif untuk pembangunan bakat dan kemajuan kerjaya.

Lebih membimbangkan, tindakan sebegini boleh menyebabkan staf hilang keyakinan untuk bersuara atau memberi pandangan kerana takut dipersalahkan di khalayak ramai.

9. Membandingkan Staf dengan Rakan Sekerja Lain

Di sapmping itu juga, amalan membanding-bandingkan bukan sahaja tidak membina, malah boleh memupuk rasa iri hati dan persaingan tidak sihat.

Pemimpin yang gemar membandingkan staf dilihat tidak menghargai keunikan dan kekuatan individu dalam pasukannya.

Ia juga boleh menjatuhkan semangat staf yang merasa diri mereka tidak cukup bagus meskipun telah berusaha sebaik mungkin. Sebaliknya, setiap staf wajar dinilai berdasarkan kemajuan dan pencapaian peribadi mereka sendiri.

10. Menunjukkan Perangai Negatif di Hadapan Staf

Perangai seperti mudah marah, bercakap kasar, suka menyindir, atau menunjukkan emosi tidak stabil di hadapan staf boleh menimbulkan ketakutan dan rasa tidak selesa.

Staf akan hilang rasa hormat terhadap pemimpin yang gagal mengawal tingkah laku sendiri.

Pemimpin seharusnya menjadi sumber ketenangan dan keseimbangan emosi kepada pasukan, bukan pencetus tekanan tambahan.

Apabila emosi peribadi dibawa masuk ke dalam urusan kerja, keberkesanan kepimpinan akan terjejas dengan ketara.

Kesimpulannya, punca dan sebab staf hilang hormat kepada ketua perlu dianalisis dari awal

Menjadi seorang pemimpin yang dihormati bukan datang dengan jawatan, tetapi terhasil daripada tingkah laku, nilai dan cara layanan terhadap orang di sekeliling. Hormat tidak boleh dipaksa.

Ia perlu dipupuk melalui keadilan, empati, integriti dan teladan yang baik. Apabila pemimpin mampu menjaga hubungan dan memberi inspirasi kepada pasukannya, mereka bukan sahaja dihormati, malah akan sentiasa disokong dan dipercayai dalam apa jua keadaan.

Ingatlah, kepimpinan yang berkesan bermula dengan kepercayaan, dan kepercayaan lahir daripada rasa hormat yang tulus.

Sumber : leaderchat.org, insperity

BACA : Isi Kad Ketibaan Digital (TDAC) Sebelum Ke Thailand – Sistem Digital

suhaila

live your best life

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.