Siakap Keli
Myipo Perkasa Peranan Wanita Dalam Inovasi Dan Harta Intelek
Gambar Hiasan

MyIPO Perkasa Peranan Wanita Dalam Inovasi Dan Harta Intelek

MyIPO Perkasa Peranan Wanita Dalam Inovasi Dan Harta Intelek

Dalam pengiktirafan peranan besar wanita sebagai penggerak inovasi negara, Seminar “Focus on Women: Navigating Innovation and Creativity” anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah menghimpunkan lebih 150 penyelidik, usahawan dan pencipta bagi meraikan keunggulan daya cipta wanita dalam ekosistem inovasi serta landskap harta intelek negara.

Seminar anjuran bersama Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) ini menumpukan kepada usaha memperkasa wanita melalui kefahaman terhadap peranan harta intelek sebagai aset strategik perniagaan.

Statistik MyIPO bagi tahun 2024 menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila sebanyak 493 permohonan paten difailkan oleh wanita, iaitu meningkat kira-kira 23% berbanding tahun sebelumnya. Walaupun trend ini menunjukkan perkembangan positif, jumlah tersebut masih rendah jika dibandingkan dengan keseluruhan permohonan yang diterima setiap tahun. Ini menunjukkan bahawa masih terdapat ruang yang luas untuk memperluaskan penyertaan wanita dalam bidang harta intelek, khususnya dalam kalangan inovator, pencipta dan usahawan yang belum memanfaatkan sepenuhnya sistem perlindungan harta intelek.

Seminar ini menghimpunkan barisan penceramah dan panelis yang mewakili pelbagai bidang termasuk potensi inovasi dan pemerkasaan wanita melalui harta intelek. Dr. Amani Salim, Ketua Pegawai Teknologi nanoSkunkWorkX, memperkenalkan dunia sains mendalam dan aplikasi teknologi karbon dalam pembangunan biosensor, tenaga hidrogen dan semikonduktor. Nur Naquyah dari Les’ Copaque Production pula berkongsi pendekatan strategik dalam pengurusan kandungan dan jenama kreatif.

Manakala Crystal Lim, pakar pemasaran korporat dan B2B, menonjolkan kuasa penceritaan dalam membina jenama yang bermakna dan berpengaruh. Perkongsian daripada Assoc. Prof. Ts. Dr. Siti Nuurul Huda dari Universiti Malaysia Kelantan dan SNH Cosmetic Lab juga telah berkongsi bagaimana penyelidikan akademik dapat dilestarikan melalui produk kosmetik komersial. Kisah inspirasi Nurul Afidah, Ketua Pegawai Eksekutif Mimpikita, membuktikan bahawa latar belakang kejuruteraan bukan penghalang untuk membina empayar fesyen yang berjaya. Manakala Dr. Nur Azura dari MARDI membuka perspektif baharu mengenai aplikasi biosensor dalam bidang sains hayat.

MyIPO terus komited dalam usaha memperluas penyertaan wanita dalam bidang harta intelek melalui pelbagai program pembangunan kapasiti seperti bengkel kesedaran harta intelek, sesi latihan teknikal termasuk kerjasama strategik bersama agensi wanita, institusi pengajian tinggi dan pihak industri.

Penganjuran seminar ini membuktikan komitmen berterusan MyIPO dalam memacu penyertaan wanita dalam ekosistem inovasi negara serta memanfaatkan harta intelek sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif, lestari dan berdaya saing.

Turut hadir dalam majlis ini Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Sheikh Arifin Sheikh Mohd Noor.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: