Siakap Keli
Perdana Menteri Dan Presiden China Menyaksikan Pemeteraian Jalinan Intelektual Malaysia-China Di Bawah Kementerian Pendidikan
Gambar Hiasan

Perdana Menteri Dan Presiden China Menyaksikan Pemeteraian Jalinan Intelektual Malaysia-China Di Bawah Kementerian Pendidikan

Perdana Menteri Dan Presiden China Menyaksikan Pemeteraian Jalinan Intelektual Malaysia-China Di Bawah Kementerian Pendidikan

Putrajaya, 16 April – Bersempena meraikan 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, Kementerian Pendidikan (KPM) meneruskan kesinambungan tambatan hubungan baik antara kedua-dua negara melalui pemeteraian kerjasama penterjemahan dan penerbitan karya-karya terbaik Malaysia-China. Simbolik pemeteraian kerjasama ini berlangsung melalui pertukaran dokumen memorandum yang diselaraskan oleh Bahagian Perancangan Strategik dan Hubungan Antarabangsa (BPSHA) antara Yang Berhormat Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan dengan Tuan Yang Terutama Shen Haixiong, Presiden dan Ketua Pengarang (President & Editor-in-Chief), China Media Group (CMG) dan disaksikan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden China Xi Jinping, dalam satu majlis yang berlangsung hari ini.

Kerjasama penterjemahan dan penerbitan yang akan dilaksanakan melalui Institut Terjemahan & Buku Malaysia – ITBM (sebuah agensi di bawah KPM) dengan pihak China melalui National Press and Publication Administration of the People’s Republic of China ini melibatkan penerbitan dan penterjemahan karya-karya klasik terbaik kedua-dua negara di bawah projek Asian Classics Translation Programme.

Kerjasama berimpak tinggi dalam tempoh lima (5) tahun ini merangkumi penterjemahan dan penerbitan antara 50 hingga 100 judul buku, yang meliputi karya-kaya Sasterawan Negara, penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Award), karya Malaysiana dan karya-karya klasik tempatan serta karya-karya terbaik dari China yang akan diputuskan dalam perbincangan selanjutnya nanti. Inisiatif ini antara lain bertujuan untuk menggalakkan pertukaran judul yang meningkatkan pemahaman silang budaya antara kedua-dua negara selain menjadi pengukuh hubungan sedia ada melalui diplomasi kesusasteraan.

Terdahulu, pemeteraian kerjasama ini adalah lanjutan kunjungan hormat dan pertemuan ITBM bersama-sama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai rakan strategik penerbitan dengan pihak penerbit di China pada Jun tahun lalu, dan disusuli dengan pertemuan lanjutan bagi perbincangan lebih mendalam berkenaan potensi kerjasama yang boleh dilaksanakan dengan pihak penerbit China yang berlangsung pada hujung Februari yang lalu.

Hasil daripada kedua-dua sesi kunjungan hormat dan lawatan kerja ini, ITBM bersama-sama UTM sedang giat mengusahakan beberapa inisiatif berimpak tinggi dengan pihak China, termasuk projek sistem terjemahan yang dikuasakan AI (Artificial Intelligence atau kecerdasan buatan), MyTRANSLATE yang sedang dibangunkan oleh ITBM dan UTM. Inisiatif dan usaha sama ini selari dengan misi pengantarabangsaan berterusan melalui aktiviti penterjemahan, pemindahan ilmu, penerbitan dan pembangunan modal insan yang dilaksanakan oleh ITBM.

Projek usaha sama yang dibawakan KPM melalui pelaksanaan oleh ITBM ini juga merupakan tanda sokongan dan penghargaan kepada hubungan diplomatik kedua-dua negara serta meraikan kunjungan Presiden China Xi Jinping dalam program lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia. Pemeteraian kerjasama intelektual berimpak tinggi yang disaksikan oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara ini diharap akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dan membina sebuah persahabatan intelektual yang memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.