Kes Dana Armada: Syed Saddiq Tiba Di Mahkamah Rayuan
PUTRAJAYA — Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Istana Kehakiman sekitar jam 8.27 pagi ini untuk mendengar keputusan kes sabitan dan hukuman berhubung dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Mengenakan sut berwarna hitam, Syed Saddiq dilihat datang bersama dua pegawainya.
Turut sama hadir memberi sokongan termasuk selebriti terkenal, Bella Astillah, ibu, bapa, kakak dan abang serta saudara terdekat Ahli Parlimen MUDA pada pagi tadi.
Kemunculan Bella bagi memberikan sokongan terhadap ahli parlimen itu bukanlah kali pertama. Untuk pengetahuan, selebriti jelita ini turut tampil di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 19 Mac lalu di samping Syed Saddiq.
Terdahulu, Syed Saddiq telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila didapati bersalah atas empat pertuduhan melibatkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram menggunakan dana Armada.
Keputusan yang dijatuhkan oleh Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid pada 9 November 2023 itu menolak pembelaan Syed Saddiq dengan mengklasifikasikan keterangan tersebut ‘tidak masuk akal’.
Syed Saddiq kemudian membuatkan permohonan terhadap Mahkamah Tinggi untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan menangguhkan prosiding rayuan pada 20 Mac lalu atas faktor kesihatan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Sumber: Astro Awani, Gempak