Kesilapan Paparan Jalur Gemilang: Akhbar Harian Akan Ambil Tindakan Disiplin Terhadap Petugas
KUALA LUMPUR, (Bernama) — Petugas yang bertanggungjawab atas kesilapan melibatkan paparan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka hadapan akhbar harian pada Selasa akan berdepan dengan tindakan disiplin.
Akhbar harian itu dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah menjalankan siasatan dalaman secara terperinci berkaitan insiden itu.
“Jabatan Pengarang telah menambah baik prosedur semakan khususnya dalam aspek penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI). Kami berjanji untuk lebih berwaspada dan peka dalam menangani isu yang boleh menjejaskan maruah negara dan hubungan antara kaum,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pengurusan akhbar harian tersebut dengan sepenuh hati menerima titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkaitan kesilapan Jalur Gemilang yang dipaparkan di muka hadapan akhbar itu.
BACA: Isu Ilustrasi Jalur Gemilang Tanpa Bulan Sabit Di Muka Depan Akhbar Tempatan
Sultan Ibrahim hari ini bertitah kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan di muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima.
Menerusi catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak.
Terdahulu, sebuah akhbar harian berkenaan tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang itu.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan akhbar harian tersebut telah diberikan surat tunjuk sebab selepas dipanggil bagi siasatan berhubung isu penyiaran Jalur Gemilang tidak lengkap hari ini.
KDN dalam kenyataan memaklumkan siasatan dilaksanakan serta-merta di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Pada Selasa, satu akhbar harian menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.
Sumber: Bernama
BACA: Google Disaman £5 Bilion Di UK Atas Dakwaan Persaingan Tidak Adil Dalam Iklan Carian
BACA: Sambil Pekena Nasi Kandar, Wartawan China Borak Dalam Bahasa Melayu