Tak Perlu Pening, Ini Cara Mudah Isi E-Filing
Setiap tahun, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengumumkan tarikh pembukaan pengisian borang e-Filing. Setiap kali pengumuman dibuat, pasti ada antara kita yang keliru dan pening dengan langkah-langkah pengisian borang ini.
Antara yang menjadi cabaran buat orang awam mengisi borang e-Filing ialah tidak faham dengan istilah yang digunakan biarpun borang tersebut menggunakan Bahasa Melayu.
Bagi mengurangkan beban anda, pihak LHDN telah berkongsi satu video panduan secara ringkas yang boleh anda ikuti satu per satu. Berikut SK kongsikan cara isi e-Filing tersebut.
Untuk pengetahuan, cara ini boleh dijadikan rujukan secara umum kepada semua. Namun, ingin SK maklumkan, perkongsian ini lebih kepada individu yang tidak mempunyai sebarang aktiviti perniagaan sebagai punca pendapatan.
Pertama sekali, log masuk di laman sesawang MyTax. Anda perlu isikan nombor kad pengenalan dan kata laluan untuk log masuk.

Bagi pengguna yang tidak pernah mendaftar, klik pada ‘Log Masuk Kali Pertama’ dan isikan semua maklumat yang diminta.

Bagaimana pula jika anda terlupa kata laluan? Jangan risau. Tekan sahaja ‘Lupa Kata Laluan’ dan anda akan menerima emel daripada pihak LHDN untuk buat kata laluan anda yang baharu.
Selepas anda berjaya log masuk, klik Perkhidmatan ezHasil dan cari borang bernama e-Filing.

Anda akan diminta untuk memilih salah satu daripada tiga jenis borang iaitu borang e-BE, e-B atau e-BT.

Sebagai individu pemastautin, anda perlu memilih antara borang e-BE atau e-B.
Bagi anda yang tidak menjalankan sebarang perniagaan, pilih borang e-BE, tetapi jika anda ada menjalankan perniagaan di samping kerja makan gaji, anda perlu memilih borang e-B.
Borang e-BT hanya bagi mereka yang bukan berstatus warganegara Malaysia.
Pastikan anda memilih tahun yang betul iaitu bagi tahun ini, anda perlu memilih tahun taksiran 2024.

Setelah itu, anda akan diminta untuk isikan butiran peribadi termasuk nama dan nombor telefon.
“Pastikan nama betul, nombor telefon semua betul. Isi sahaja dekat situ. Pastikan jenis taksiran yang paling utama. Pastikan jenis taksiran yang dipilih tu betul,” pesan pegawai LHDN. Rujuk gambar di bawah.

Setelah anda pasti semua maklumat diisi dengan betul, klik butang ‘Seterusnya’. Di ruangan ini pula, anda perlu periksa dan pastikan nombor akaun tertera dengan betul. Kemudian, klik ‘Seterusnya’ dan anda akan diminta mengisi ruangan pendapatan.

Pastikan anda masukkan jumlah pendapatan yang betul. Jika anda tidak pasti, klik pada butang ‘Info’ untuk mendapatkan maklumat lanjut. Anda boleh juga rujuk jumlah pendapatan penggajian yang ada dalam Borang EA dan letakkan di bahagian ‘Pendapatan Berkanun Penggajian Punca Malaysia’.
Anda juga boleh rujuk jumlah ‘Potongan Cukai Bulanan (PCB)’ menerusi Borang EA yang anda terima daripada majikan.

Setelah selesai, teruskan ke bahagian Pelepasan. Anda boleh memilih pelepasan cukai yang berkaitan dengan syarat, pelepasan tersebut mesti dibelanjakan oleh anda. Resit dan dokumen sokongan yang membuktikan pembayaran tersebut dilakukan oleh anda perlu disimpan.

Bahagian terakhir ialah bahagian rumusan. Pastikan anda lakukan semakan dengan teliti supaya tidak ada maklumat yang salah sebelum anda turunkan tandatangan dan hantar borang e-Filing. Ambil perhatian. Jika terdapat kesilapan dalam borang e-Filing, anda boleh dikenakan hukuman seperti di dalam rajah di bawah.

Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
BACA: Tiga Penghidap Penyakit Mental Ini Layak Terima Bantuan MySalam