Hiburan Atau Ekonomi, Ini Mungkin Terjadi Bila Tiada Langsung Konsert Di Malaysia
Sejak kebelakangan ini, penganjuran konsert di Malaysia sering menjadi topik perbualan hangat. Daripada isu keselamatan hingga soal kelulusan pihak berkuasa, banyak yang diperdebatkan.
Namun, pernahkah kita terfikir, apakah kesannya jika tiada langsung konsert di Malaysia? Adakah ia hanya soal hiburan semata-mata atau sebenarnya memberi impak besar kepada ekonomi negara?
Walaupun ada segelintir pihak yang mempersoalkan sama ada konsert-konsert ini mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan, data menunjukkan industri hiburan seperti konsert mampu menjana pulangan ekonomi yang besar kepada negara.
Namun, bayangkan jika Malaysia mengambil keputusan drastik menghentikan penganjuran konsert sepenuhnya — apakah kesannya terhadap pelbagai sektor yang bergantung kepada industri hiburan ini? Adakah kita bersedia kehilangan peluang ekonomi bernilai jutaan ringgit? Berikut adalah beberapa kesan nyata jika tiada lagi konsert dianjurkan di Malaysia:
1. Industri Muzik dan Pelancongan Mungkin Terjejas Teruk
Konsert bukan sekadar acara hiburan, tetapi merupakan pemacu penting kepada sektor pelancongan dan ekonomi kreatif negara. Mana tidaknya, kehadiran artis luar negara mampu menarik ribuan peminat, termasuk pelancong asing, sekali gus merancakkan sektor perhotelan, pengangkutan, makanan & minuman (F&B) serta peruncitan.
Sejak Malaysia kembali membuka pintu kepada konsert antarabangsa, produk pelancongan berkaitan muzik mula menyumbang kepada pemulihan ekonomi kreatif tempatan. Namun, insiden tragis melibatkan kematian di sebuah konsert baru-baru ini telah mencetuskan kebimbangan baharu tentang keselamatan acara hiburan di negara ini.
Disebabkan itulah, Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) telah menetapkan garis panduan ketat seperti melarang keras pengedaran dadah dan minuman keras di lokasi acara. Selain itu, cadangan meningkatkan keselamatan seperti ujian urin secara rawak, penggunaan pengesan dadah dan kehadiran anjing pengesan turut sedang dipertimbangkan. Semua ini menunjukkan bahawa keselamatan boleh ditambah baik tanpa perlu menghentikan sepenuhnya penganjuran konsert.
2. Kehilangan Peluang Pekerjaan dan Pendapatan
Tanpa konsert, ribuan tenaga kerja industri kreatif dijangka terjejas. Artis, krew teknikal, vendor acara, agensi keselamatan, peniaga kecil dan ramai lagi bergantung kepada konsert sebagai punca rezeki.
Selepas memasuki fasa endemik pada April 2022, ratusan konsert telah berlangsung, termasuk skala besar melibatkan artis tempatan dan antarabangsa. Bagi artis, konsert bukan sahaja platform untuk bertemu peminat, malah peluang mengembangkan jenama serta kerjaya mereka.
Memang benar konsert adalah perniagaan berisiko tinggi dengan kos besar dan perancangan kompleks. Namun, jika dirancang teliti, ia berpotensi memberi pulangan lumayan, sekaligus menyumbang kepada pelbagai sektor ekonomi tempatan.
3. Malaysia Dijangka ‘Hilang’ Ratusan Juta Setahun Sumbangan Ekonomi Hiburan
Berdasarkan data PUSPAL, konsert artis antarabangsa sahaja dijangka menyumbang lebih RM200 juta kepada ekonomi Malaysia pada 2025. Angka ini membuktikan penganjuran konsert bukan sekadar hiburan, tetapi juga pemacu ekonomi kreatif negara.
Jumlah tersebut meliputi kesan limpahan ekonomi daripada sektor perhotelan, pengangkutan, perkhidmatan makanan, pengurusan acara dan banyak lagi. Dengan adanya geran dan insentif daripada kementerian berkaitan, Malaysia dilihat berpotensi menjadi destinasi utama penganjuran konsert bertaraf antarabangsa di rantau ini.
Meskipun konsert terus mendapat sambutan, PUSPAL menegaskan semua artis antarabangsa wajib melalui proses tapisan ketat bagi memastikan mereka mematuhi sensitiviti tempatan. Penganjur tempatan juga bertanggungjawab memastikan artis memahami garis panduan dan syarat yang ditetapkan.
Bukan sekadar hiburan kosong, konsert adalah sebahagian daripada ekosistem ekonomi yang menyokong pelbagai sektor lain. Menghapuskan terus penganjuran konsert di Malaysia bukanlah penyelesaian terbaik. Sebaliknya, pendekatan seimbang yang mengutamakan keselamatan sambil mengekalkan manfaat ekonomi harus menjadi fokus utama.
Bahkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahu semua pihak terutamanya kementerian memberikan tumpuan untuk meningkatkan keupayaan dalam bidang pelancongan, pelaburan dan ekonomi dengan keterlibatan semua negeri menerusi Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Kata beliau, penglibatan menyeluruh daripada semua pihak itu boleh membantu negara mencapai unjuran pendapatan sebanyak RM147.1 bilion serta sasaran kedatangan pelancong seramai 35.6 juta melalui kempen berkenaan.
Bersertakan dengan garis panduan yang diperketat, pendidikan kesedaran kepada pengunjung, serta kerjasama padu antara penganjur, pihak berkuasa dan masyarakat, industri hiburan negara mampu terus berkembang dengan cara yang lebih selamat dan berdaya maju. Hiburan berkualiti, keselamatan terjamin, ekonomi terus berkembang.