Siakap Keli
Kredit: AFP

Isu Berat Tapi Mudah Faham, Ini Penjelasan Paling Senang Nak Hadam Isu Tarif AS

Isu Berat Tapi Mudah Faham, Ini Penjelasan Paling Senang Nak Hadam Isu Tarif AS

Baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengumumkan kenaikan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua import ke AS dan duti yang lebih tinggi ke atas puluhan negara lain.

Tindakan ini sebenarnya boleh mempengaruhi banyak pihak terutamanya dalam isu import dan eksport.

Walau bagaimanapun, isu ini agak kompleks untuk dihadam oleh orang awam atau boleh diistilahkan bahawa tarif AS merupakan isu yang berat.

Seperti tinjauan di media sosial, ada yang katakan tidak berminat untuk ambil tahu tentang tarif AS kerana bukan berlaku di Malaysia.

Disebabkan ada yang menganggap isu ini terlalu berat, artikel ini akan menjelaskan dengan bahasa yang paling mudah untuk faham apa kesan tarif AS terhadap Malaysia.

Kenaikan tarif AS boleh bagi kesan negatif terhadap Malaysia

Kenaikan tarif import AS terhadap Malaysia dapat memberi kesan negatif, dari segi ekonomi, ataupun hubungan perdagangan antara dua negara.

Sebagai ekonomi terbuka, Malaysia sangat bergantung kepada perdagangan antarabangsa, terutamanya dengan negara-negara besar seperti AS.

1. Penurunan eksport Malaysia ke AS

Dengan dikenakan tarif sebanyak 24 peratus, ia menyebabkan kos barangan Malaysia yang dieksport ke AS menjadi lebih mahal, sekaligus menjadikannya kurang berdaya saing berbanding pembekal domestik atau pembekal asing lain.

Selain itu, kenaikan tarif ini turut mengurangkan permintaan daripada pembeli AS, malah mengurangkan eksport Malaysia ke AS.

Bayangkan Malaysia biasa mengeksport produk seperti elektronik dan minyak sawit ke AS, namun negara berkenaan secara tiba-tiba menaikkan tarif untuk produk-produk yang masuk dari Malaysia.

Ini bermaksud, produk Malaysia akan menjadi lebih mahal di pasaran AS, jadi banyak pembeli di AS akan berfikir dua kali untuk membeli barang-barang tersebut. Akibatnya, permintaan terhadap produk Malaysia di AS menurun.

Dalam masa sama, ia dipanggil penurunan eksport kerana Malaysia akan kurang menjual barang ke AS kerana harga produk tersebut sudah lebih tinggi berbanding produk dari negara lain yang tidak dikenakan tarif setinggi itu.

2. Memberi kesan kepada industri pelaburan

Selain itu, tindakan Trump boleh menyebabkan ketidaktentuan dalam pasaran global, kerana pelabur mungkin bimbang tentang pertumbuhan ekonomi dan stabiliti pasaran.

Seperti yang diketahui, negara kita memiliki banyak syarikat yang terlibat dalam sektor teknologi dan automotif yang mungkin terjejas oleh perang tarif ini, memandangkan banyak bahan mentah dan komponen datang dari AS.

Ia sekaligus menyebabkan penurunan minat pelaburan di Malaysia, terutamanya dalam sektor-sektor yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa. Pelabur asing mungkin lebih berhati-hati untuk melabur di negara yang terdedah kepada ketidaktentuan ekonomi global.

3. Pertumbuhan ekonomi Malaysia turut terjejas

Sebelum ini, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang pada kadar 4.5% hingga 5.5% bagi tahun 2025. Namun, dengan peningkatan tarif, pertumbuhan ini mungkin terjejas bergantung pada sejauh mana eksport Malaysia ke AS dipengaruhi.

Untuk memahami konteks ini secara mendalam, bayangkan kerajaan Malaysia menaikkan tarif elektrik dan harga minyak secara mendadak. Kenaikan ini menyebabkan kos pengeluaran meningkat bagi banyak syarikat.

Syarikat-syarikat ini terpaksa menaikkan harga barang dan perkhidmatan mereka, yang seterusnya meningkatkan inflasi.

Dalam pada itu, rakyat yang terkesan dengan harga yang lebih tinggi akan mengurangkan perbelanjaan mereka. Ini menyebabkan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan terlibat menurun.

4. Perubahan rantaian bekalan global

Secara umum, Malaysia adalah sebahagian daripada rantaian bekalan global, terutamanya dalam industri elektronik dan pembuatan. Jika tarif tinggi dikenakan, ia boleh menyebabkan kos bahan mentah meningkat jika negara ini perlu mencari pembekal alternatif selain AS.

Misalnya seperti situasi sebuah syarikat di Malaysia yang mengimport bahan mentah untuk membuat telefon pintar.

Sebelum ini, mereka membeli bahan tersebut dari negara lain seperti China dengan harga yang agak stabil dan kos pengangkutan yang murah. Namun, akibat gangguan dalam rantaian bekalan global, bekalan bahan mentah berkurang dan kos pengangkutan menjadi lebih mahal.

Akibatnya, syarikat di Malaysia terpaksa membayar lebih untuk bahan mentah dan kos penghantaran.

Oleh kerana mereka ingin mengekalkan keuntungan, mereka terpaksa menaikkan harga telefon pintar yang dijual kepada pelanggan.

5. Ketegangan perdagangan dan hubungan diplomatik

Ketegangan perdagangan sering kali berlarutan dalam bentuk ketegangan diplomatik. Jadi, Malaysia mungkin terpaksa menilai semula hubungan diplomatik dengan negara yang menaikkan tarif atau terlibat dalam ketegangan perdagangan.

Contoh yang mudah untuk difahami ialah Malaysia mempunyai hubungan perdagangan yang erat dengan sebuah negara, seperti AS. Malah, negara ini mengimport banyak barangan dari Malaysia, seperti elektronik dan produk minyak sawit.

Namun, apabila AS secara tiba-tiba menaikkan tarif ke atas barangan dari Malaysia, ia bermakna barangan buatan Malaysia akan menjadi lebih mahal di pasaran Amerika dan pengimport di sana mungkin tidak mahu membeli sebanyak dulu.

Tindakan ini membuatkan Malaysia merasa rugi kerana eksport mereka berkurang dan menyebabkan ketegangan dalam hubungan perdagangan antara kedua-dua negara, malah ketegangan ini boleh memberi kesan pada hubungan diplomatik.

Apa tindakan Malaysia untuk atasi isu tarif ini?

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah beri jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan buat masa ini kerana kerajaan komited sepenuhnya cari penyelesaian terbaik.

“Jika tarif 24 peratus itu dilaksanakan, dari perspektif ekonomi, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 sebanyak 4.5 – 5.5 peratus perlu disemak semula.

“Bagaimanapun, buat masa ini, saya beri jaminan bahawa kerajaan tidak menjangkakan kemelesetan di Malaysia,” katanya menerusi hantaran video yang menyentuh mengenai tarif AS.

Beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan turut memberitahu asas makroekonomi negara masih kekal kukuh. Bukan itu sahaja, malah kerajaan akan menghantar pegawai ke Washington bagi memulakan rundingan berhubung tarif balas 24% yang dikenakan.

Dalam masa sama, PMX turut berasa lega apabila penangguhan pelaksanaan tarif selama 90 hari telah diumumkan oleh Trump.

“Malaysia terbabit (dalam penangguhan), melegakan sebentar,” ujarnya.

Pandangan daripada pakar ekonomi

Ketua Ekonomi MARC Ratings, Ray Choy menjelaskan bahawa Malaysia mungkin mendapat manfaat jangka pendek daripada lencongan dagangan akibat tarif AS.

Beliau merujuk kepada pengalaman terdahulu di mana pengeluar memindahkan operasi ke negara-negara ASEAN, termasuk Malaysia untuk mengelakkan tarif yang tinggi. ​

Merujuk inflasi, Choy berkata persekitaran kadar faedah global kekal konstruktif dalam tempoh menjelang 2025 yang dapat memberi dorongan tambahan untuk pertumbuhan Malaysia, dipacu oleh peningkatan pelaburan serta lencongan dagangan.

“Sejak empat tahun lepas, kita dapat melihat peningkatan pelaburan yang ketara dan dapat diterjemahkan kepada penambahbaikan pembentukan modal tetap kasar yang juga satu trend dijangka berterusan hingga 2025.

“Walaupun inflasi bagi 2025 dijangka lebih tinggi, impaknya akan bergantung kepada masa serta senario usaha rasionalisasi masa depan, terutama berkaitan harga petrol,” katanya.

Di samping itu, ahli perniagaan menekankan pentingnya strategi jangka panjang seperti diversifikasi pasaran eksport ke ASEAN, Timur Tengah, dan Eropah.

Ia penting untuk membantu syarikat kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat tarif ini, contohnya dengan bantuan kewangan dan teknikal supaya mereka boleh terus bertahan.

Pada masa yang sama, kerajaan boleh galakkan rakyat membeli barangan tempatan melalui kempen “Belilah Barangan Buatan Malaysia” bagi mengurangkan kesan kepada rakyat.

Langkah ini bukan sahaja membantu industri tempatan berkembang, tetapi juga menggalakkan rakyat menyokong produk tempatan. Dengan pelbagai usaha ini, Malaysia boleh hadapi cabaran dengan lebih baik dan kukuhkan ekonomi dalam jangka panjang.

PM Anwar bakal runding secara kolektif

Negara anggota ASEAN bersepakat menolak tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi mengatasi isu berkenaan secara kolektif, negara-negara ASEAN akan berusaha mencapai pendirian bersama.

“Secara konsensus, kita tidak bersetuju dengan tarif tersebut. Jadi, kita sedang mengambil pendekatan bersama, dan para menteri (ASEAN) juga meminta saya untuk menghubungi semua pemimpin ASEAN bagi menyelaras pendekatan itu,” katanya.

BACA: China Naikkan Tarif Terhadap AS Sebanyak 84%

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.