Sultan Pahang Berkenan Rasmi FLOODCOM Terapung Pertama Di Malaysia
JERANTUT — Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan merasmikan Pusat Gerakan Bencana Banjir (FLOODCOM) di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang pada Selasa.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook Agensi Nuklear Malaysia, FLOODCOM ini merupakan pusat gerakan terapung pertama di Malaysia, telah ditempatkan di lokasi strategik di Kampung Bantal, Hulu Tembeling.
Difahamkan, FLOODCOM adalah satu alternatif untuk pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menjalankan Pengurusan Bencana dan Kecemasan khususnya pengoperasian seperti kecemasan, menyelamat, memindah dan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir.

Tambah Agensi Nuklear Malaysia, FLOODCOM bertindak sebagai pusat komunikasi alternatif seperti frekuensi sangat tinggi (VHF) serta frekuensi tinggi (HF) sekiranya komunikasi sedia ada mengalami gangguan.
Struktur ini juga dapat dijadikan sebagai menara tinjau, pemantauan dan pemerhatian keadaan cuaca semasa, paras air sungai dan sebarang kejadian kecemasan serta berpotensi dijadikan sebagai tempat untuk aktiviti menara tinjau bagi pelancong yang datang, seterusnya menjadi nilai tambah untuk produk pelancongan tempatan.
“Floating Flood Disaster Command Centre (Pusat Gerakan Bencana Banjir Terapung) ini merupakan struktur terapung daripada bahan biokomposit mesra alam serta modul apungan ‘radiation crosslinked HDPE’ (RX-HDPE)
“Ia dibangunkan sepenuhnya menggunakan kepakaran pegawai penyelidik Agensi Nuklear Malaysia yang merangkumi kajian pada peringkat makmal, pembangunan prototaip dan uji lari dalam situasi sebenar yang telah dijalankan sejak 2009.
“Projek ini memberi manfaat kepada komuniti setempat dan mukim Hulu Tembeling dengan menggunakan geran peruntukan di bawah Program Inisiatif Inovasi Sosial Malaysia (MYIS), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) sebagai agensi pelaksana,” maklum kenyataan itu.

Turut hadir dalam perasmian itu adalah Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Dr. Rosli Darmawan, Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi Abdullah Daud, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) Sharmila Mohamed Salleh, Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed dan pegawai-pegawai penyelidik Agensi Nuklear Malaysia.
Sumber: Agensi Nuklear Malaysia