Tim Cook Yakinkan Trump, Apple Selamat Dari Impak Tarif
Washington – Ketika pemilik perniagaan lain mengkritik perang tarif Trump, Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook dilaporkan mengambil tindakan diplomasi secara tertutup, lapor The Economic Times.
Berikutan kenaikan tarif yang dikenakan terhadap produk China yang secara langsung memberi kesan kepada produk Apple, beliau menghubungi Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Howard Lutnick pada minggu lalu. Beberapa perbincangan tertutup bersama beberapa pegawai kanan White House turut diadakan.
Susulan itu, White House mengumumkan pengecualian sementara produk elektronik tertentu termasuk produk Apple daripada dikenakan duti import baharu. Memetik The Washington Post, manfaat ini turut melibatkan syarikat gergasi teknologi lain seperti Dell dan HP. Namun, ‘kemenangan’ Apple lebih signfikan. Malah difahamkan, Trump meneruskan pemberian pengecualian ini biarpun mendapat tentangan daripada penasihat, Peter Navarro.
Pendekatan Cook digelar orang dalam Trump sebagai “bukan seorang yang suka merungut”.
Bekas Setiausaha Perdagangan Trump, Wilbur Ross berkata strategi Cook meraih penghormatan termasuk dalam kalangan penyokong Trump.
“Tim mempunyai hubungan yang baik dengan presiden dan (hubungan baik) itu memang wajar.
“Dia bukan pengadu secara terbuka, tidak suka merungut tetapi tampil dengan suara realiti sebenar,” katanya.
Dalam pada itu, Trump turut mengesahkan penglibatan Cook pada awal minggu ini.
“Saya bercakap dengan Tim Cook. Saya telah membantu Tim Cook baru-baru ini, dan seluruh urusan perniagaan itu,” ujar Trump.
Namun begitu, jurucakap White House, Kush Desai menegaskan pengecualian yang diberi tidak diberikan secara khusus kepada Apple.
“Pentadbiran mengambil pendekatan yang lebih halus dan strategik bagi menangani amalan perdagangan tidak adil China,” jelasnya.
Sebelum ini, beberapa pemimpin syarikat teknologi lain juga pernah menggunakan pendekatan sedemikian ketika Trump mula berkempen. Antara tokoh yang dilaporkan bertemu Trump termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar Pichai dan Ketua Pegawai Eksekutif NVidia, Jensen Huang. Begitu juga pengasas Facebook, Mark Zuckerberg dan Ketua Pegawai Eksekutif Amazon, Jeff Bezos.
Sumber: The Economic Times
BACA: Isu Berat Tapi Mudah Faham, Ini Penjelasan Paling Senang Nak Hadam Isu Tarif AS
BACA: Tarif Trump: China Mungkin Bakal Haramkan Filem Hollywood