Dominic Tan Antara 3 Pemain Dipercayai Bakal Sertai Asean All Stars
Tiga pemain Harimau Malaya dipercayai bakal menyertai Asean All-Stars dalam perlawanan menentang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United, lapor Stadium Astro.
Pertembungan tersebut dijadualkan bakal berlangsung pada bulan hadapan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pemain yang terpilih itu merupakan penjaga gol, Haziq Nadzli, pemain pertahanan tengah, Dominic Tan dan penyerang, Sergio Aguero.
Walau bagaimanapun, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pemilihan pemain terbabit.
Terdahulu, Bernama melaporkan hampir 45,000 tiket perlawanan sudah terjual setakat ini.
Perkara ini dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ProEvents, Julian Kam. Beliau berkata, ia berikutan sambutan peminat yang begitu menggalakkan berikutan kemenangan pasukan Manchester United di suku akhir Liga Europa UEFA.
BACA: Hampir 45,000 Tiket Perlawanan Manchester United-Asean All-Star Sudah Terjual
“Setakat ini, sambutan sangat bagus. jualan tiket hampir mencecah 45,000. Kami berharap lebih ramai peminat akan hadir untuk menonton acara sukan terbesar di Malaysia bagi tahun 2025.
“Terutama sekali selepas persembahan United pada aksi suku akhir Liga Europa, saya rasa peminat teruja untuk hadir beramai-ramai. Peminat dari ASEAN juga akan hadir. Jadi, dapatkan tiket anda sekarang,” ujarnya.
Pertembungan awal pagi tadi menyaksikan United meraih kemenangan dramatik 5-4 menentang kelab bola sepak Perancis, Lyon. Kemenangan ini membuka peluang pasukan itu mara ke separuh akhir dengan agregat 7-6.
Imbas kembali, kunjungan terakhir pasukan The Red Devils itu ke Malaysia ialah pada tahun 2009. Perlawanan yang berlangsung pada 18 dan 20 Julai itu menyaksikan pasukan Malaysia XI tersungkur di Stadium Nasional Bukit Jalil dua kali berturut-turut dengan mata 3-0 dan 2-0.
Selain Malaysia, pasukan Manchester United turut bakal mendarat di Hong Kong menerusi jelajah pramusim itu. United dijadualkan bakal menentang pasukan kebangsaan negara tersebut di Stadium Hong Kong pada 30 Mei.
Sumber: Stadium Astro
BACA: Pulau Pinang Rekod 579 Kes Baharu HFMD Dalam Seminggu, Empat Kluster Dikesan
BACA: Remaja Cedera Parah Terjatuh Dari Pendulum Di Taman Tema