Fadhlina Sidek Menang Selesa Pemilihan Ketua Cabang Nibong Tebal, Tekad Perkukuh Parti Menjelang PRU Ke-16
NIBONG TEBAL, 19 April 2025 – Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek menang jawatan Ketua Cabang Nibong Tebal dalam Pemilihan KEADILAN 2025.
Fadhlina yang merupakan Menteri Pendidikan dan Ahli Parlimen Nibong Tebal berjaya mendapat 677 undi, selesa menewaskan Muttaqeen Mustafa yang mendapat 335 undi dan Muhammad Navalan Abdullah 72 undi.
Menurut Fadhlina, beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh ahli parti KEADILAN Cabang Nibong Tebal yang memberi mandat kepadanya untuk memimpin.
Tambah beliau, “kemenangan ini adalah satu amanah besar yang perlu dipikul dengan sebaik mungkin. Fokus utama pada waktu ini adalah untuk mengukuhkan parti di peringkat cabang dan memastikan Nibong Tebal kekal kubu kuat KEADILAN dalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke-16 berpaksikan kebaktian kepada seluruh masyarakat di sini.”
Sebelum ini Fadhlina telah mengumumkan akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita KEADILAN Pusat dalam pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada bulan hadapan.