Pembukaan Pasaran Kelapa Segar Ke China Galak Pengeluaran Kelapa Muda Berkualiti Tinggi Tempatan
Jabatan Pertanian ingin menjelaskan bahawa buah kelapa segar yang dibenarkan untuk dieksport ke Republik Rakyat China (RRC) menerusi Protokol Keperluan Fitosanitari yang dimeterai antara kerajaan Malaysia dan China baru-baru ini merujuk khusus kepada jenis kelapa muda bagi tujuan minuman segar sahaja, dengan keutamaan diberikan kepada varieti kelapa wangi (aromatic coconut) seperti varieti kelapa pandan yang mempunyai aroma unik berbau pandan dan tahap kemanisan brix sekitar 6.7˚.
Menurut Ketua Pengarah Pertanian, YBhg. Dato’ Nor Sam binti Alwi, Malaysia telah mengeksport kelapa muda ke China dengan hanya berasaskan keperluan sijil fitosanitari tanpa adanya protokol khusus sebelum ini. Maka, pelaksanaan protokol baharu ini menandakan peningkatan kawalan biosekuriti di samping mewujudkan elemen kebolehkesanan (traceability) yang lebih sistematik dalam pengeluaran kelapa muda Malaysia yang berkualiti. Penekanan kepada keperluan ladang berdaftar, pengurusan amalan pertanian baik (Good Agricultural Practices) serta pematuhan kepada sistem kawalan perosak bersepadu (Integrated Pest Management) akan memastikan hanya kelapa muda yang berkualiti tinggi dan selamat dieksport mengikut piawaian antarabangsa. Laluan pasaran ini juga merupakan strategi jangka panjang bagi mempelbagaikan negara dagangan bagi produk pertanian Malaysia pada masa hadapan.
“Pada tahun 2023, pengeluaran kelapa negara mencecah 624,000 tan metrik. Daripada jumlah ini, sebanyak 6,000 tan metrik kelapa muda telah dieksport. Keutamaan eksport kelapa muda adalah berasaskan permintaan pengguna luar negara dan memberi pulangan nilai tambah, khususnya dalam bentuk minuman segar. Kelapa tua pula diimport dalam jumlah besar melebihi 278,000 tan metrik bagi menampung keperluan khusus industri pemprosesan berasaskan kelapa seperti santan, kerisik, kelapa kering dan sebagainya,” jelas beliau lagi.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Pertanian sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan industri kelapa bagi tujuan meningkatkan SSR kelapa negara. Di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan bagi Projek Pembangunan 2 Industri Kelapa dan RM6.25 juta untuk Projek Pengukuhan Benih Kelapa. Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran kelapa negara kepada 669,000 tan metrik menjelang tahun 2030.
Insentif turut disediakan kepada pengusaha kelapa termasuk input pertanian seperti anak benih, baja dan racun perosak, selain sokongan infrastruktur asas ladang. Skop projek merangkumi penanaman baharu, penanaman semula, pemulihan pokok tua serta integrasi tanaman.
Selain bantuan fizikal, Jabatan Pertanian turut melaksanakan pelbagai program latihan secara teori dan amali melibatkan pengusaha kelapa di seluruh negara. Latihan ini merangkumi teknik tanaman, amalan agronomi moden, serta pematuhan kepada keperluan eksport dan keselamatan makanan. Pendekatan ini membolehkan pekebun kecil dan pengusaha ladang menyumbang kepada pengeluaran kelapa berkualiti yang menepati kehendak pasaran antarabangsa.
Tiga negeri utama pengeluar kelapa di Malaysia ialah Selangor, Johor dan Perak. Sebanyak 93% kawasan kelapa diusahakan oleh pekebun kecil, manakala selebihnya dimiliki oleh estet (6.5%) dan agensi kerajaan (0.5%). Mengikut rekod Jabatan Pertanian, dianggarkan seramai 60,000 pengusaha kelapa di seluruh negara. Dari segi pengeluaran, pekebun kecil menyumbang lebih 80% kepada jumlah pengeluaran negara, membuktikan penyertaan mereka serta sokongan daripada semua pihak berkepentingan adalah teras kepada pertumbuhan industri kelapa negara.
Jabatan Pertanian menggalakkan lebih ramai pengusaha tempatan, khususnya yang mengusahakan kelapa wangi seperti varieti kelapa pandan, untuk mengambil peluang mengeksport kelapa muda di bawah protokol ini dengan mendaftar ladang sumber yang dipersijilkan dengan myGAP dan fasiliti pemprosesan. Pengusaha yang berminat boleh menghubungi Jabatan Pertanian melalui e-mel di [email protected].