Sambutan Meriah Open House Aidilfitri Di SJKC Tarik Perhatian Netizen
Sudah semestinya, Hari Raya Aidilfitri merupakan antara sambutan yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam.
Setelah sebulan berpuasa menahan lapar dan dahaga, tibalah masa untuk meraikan hari ‘kemenangan’ dengan penuh kegembiraan dan rasa syukur.
Namun, apa yang menjadikan Hari Raya lebih istimewa di Malaysia ialah sambutannya yang merentasi sempadan kaum dan agama.
Walaupun asalnya merupakan perayaan umat Islam, budaya rumah terbuka semasa Aidilfitri menjadikannya satu sambutan yang diraikan bersama oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.
Tradisi rumah terbuka sememangnya menjadi simbol keramahan, perpaduan dan saling menghormati.
Ia memberi peluang kepada masyarakat pelbagai bangsa untuk saling berkenalan, mencuba makanan tradisional Melayu, serta mengenali budaya sesama dalam suasana yang mesra dan harmoni.
Budaya ini bukan sahaja berlaku di rumah, malah turut dibawa ke sekolah-sekolah di seluruh negara.
Sekolah Cina rai Aidilfitri meriah, buat ramai terharu
Baru-baru ini, sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) mencuri tumpuan ramai apabila sambutan Hari Raya yang diadakan di sekolah mereka tular di media sosial.
Perkongsian oleh seorang pengguna TikTok, @atikah_tahar, menunjukkan kemeriahan sambutan Hari Raya di SJKC Tai Tong, Sungai Petani, Kedah.
Menurut beliau, jamuan raya sememangnya diadakan setiap tahun di sekolah itu.
Namun kali ini, sambutannya jauh lebih meriah apabila ia dilakukan secara besar-besaran di dalam dewan sekolah.
Apa yang lebih menarik, jumlah pelajar Islam di sekolah itu hanyalah sekitar 70 orang sahaja.
Akan tetapi, sambutan yang diberikan sangat luar biasa – lengkap dengan persembahan pelajar dan pelbagai jenis hidangan seperti rumah terbuka sebenar.
@atikah_tahar Selesai sambutan hari raya di sekolah anak2, semuanya happy 😍 Ummi simpan sini untuk memori. #sjkc #sekolahcina
“Tahun ni sambutan meriah, buat ala-ala open house…” ujar Atikah dalam video yang dikongsi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji usaha sekolah tersebut dan menyifatkannya sebagai contoh terbaik semangat perpaduan antara kaum di Malaysia.
Tidak dilupakan, ramai juga yang turut berkongsi pengalaman anak-anak mereka di SJKC yang menyambut Hari Raya.
“Sekolah anak saya pun sama, makanan utama raya ditaja. Anak-anak Melayu bawa ikut kemampuan sahaja dan tiada paksaan,”
“SJKC anak saya pun buat dalam dewan. Makanan berat sekolah taja. Makanan ringan pula murid bawa, tu pun tak wajib,”
“SJKC anak saya pun macam ni. Diorang dah siap-siap bagi bawak makanan apa untuk setiap darjah,”
“Jangan sampai saya yang daftarkan diri masuk balik sekolah rendah,”
“Anak-anak bekas pelajar SJKC, memang lain vibe. Memang bagus pun,”
“I masuk kerja sekolah cina. Bahagia sangat dah 20 tahun,”
“Teringin nak bagi anak masuk sjk, saya suka perbezaan yang ada kebaikan,”
BACA: Sambil Pekena Nasi Kandar, Wartawan China Borak Dalam Bahasa Melayu
BACA: Respon Mengejutkan Trump Berhubung Lawatan Rasmi Presiden China
BACA: Tragedi Putra Heights: Semua Bilik Musnah Dijilat Api Kecuali Bilik “Ini”
Sumber: Atikah Tahar via TikTok