DOLLA Menjemput Anda ke Rumah Terbuka Raya Eksklusif di Puncak Bukit
KUALA LUMPUR, 22 April 2025 – Bersedia mengakhiri sambutan Raya anda dengan penuh bergaya? Bayangkan percutian hujung minggu yang epik di kediaman puncak bukit yang indah, lengkap dengan sambutan bertaraf bintang yang tiada tandingan.
Tunggu apa lagi? Rumah Terbuka Riangnya Raya tahunan Airbnb yang dinanti-nantikan telah kembali lagi, kali ini dihoskan bersama kumpulan pop sensasi tanah air, DOLLA!
Dikenali dengan persembahan bertenaga dan personaliti yang dinamik, tiga ahli kumpulan DOLLA kini melangkah ke pentas baharu sebagai hos bersama Airbnb! Mereka bakal mengalu-alukan seorang tetamu bertuah bersama sembilan orang teman bagi menikmati hujung minggu yang sukar dilupakan di Brickhouse Bukit Tinggi, hanya sejam perjalanan dari Kuala Lumpur.
“Raya merupakan waktu yang sangat istimewa– di mana kita bersama-sama meraikan kasih sayang, tradisi dan hubungan yang penuh makna,” ujar DOLLA. “Kami teruja bekerjasama dengan Airbnb untuk menganjurkan rumah terbuka ini dan beraya dengan para peminat dalam cara yang lebih peribadi dan tulus. Bersedialah untuk menikmati suasana ceria, hidangan enak dan kenangan Raya yang tidak dapat dilupakan!”
“Raya adalah waktu untuk berkumpul dan mengeratkan hubungan bersama insan tersayang, di ruang yang terasa seperti di rumah sendiri,” kata Ketua Negara Airbnb bagi India dan Asia Tenggara, Amanpreet Bajaj. “Kami amat teruja dapat berganding tangan dengan DOLLA untuk membawa orang ramai bersama melalui sambutan istimewa ini, dalam semangat Malaysia yang sebenar.”
Mengenai Rumah Terbuka Raya
Dianjurkan bersama kumpulan wanita pop kegemaran Malaysia, DOLLA, Rumah Terbuka Raya istimewa ini akan berlangsung dari 3 hingga 5 Mei 2025 di Brickhouse Bukit Tinggi. Dengan harga RM100 sebelum cukai dan caj, percutian dua malam ini mampu memuatkan sehingga 10 tetamu – sebagai penutup musim Raya yang penuh kemeriahan. Antara pengalaman menarik yang menanti tetamu:
- Dialu-alukan secara peribadi oleh DOLLA
- Jamuan istimewa Hari Raya bersama DOLLA dalam suasana intim
- Persembahan akustik istimewa daripada DOLLA, yang akan membawakan beberapa lagu hit yang paling popular.
- Sesi soal jawab secara langsung bersama DOLLA, yang memberi peluang kepada peminat untuk mengetahui proses kreatif dan inspirasi terkini kumpulan ini.
Semangat Raya bukan sahaja dirasai di Brickhouse— persembahan akustik dan sesi soal jawab secara langsung bersama DOLLA turut akan distrim di TikTok rasmi mereka (@dollaofficial), supaya peminat dapat menikmati kemeriahan ini tidak kira di mana mereka berada.
Mengenai Penginapan
Tetamu juga akan menikmati penginapan peribadi di Brickhouse Bukit Tinggi, yang merangkumi dua vila lengkap dengan kolam renang peribadi, kawasan BBQ, kemudahan karaoke serta pemandangan pergunungan dan dusun durian yang indah. Sama ada bersantai di tepi kolam atau menikmati hidangan di bawah sinaran bintang, percutian istimewa ini menjanjikan gabungan alam semula jadi, muzik dan keceriaan Raya yang tiada tandingan.
Cara Tempahan:
- Permintaan untuk tempahan akan dibuka pada jam 11 pagi, 25 April melalui http://airbnb.com/rayawithdolla.
- Penginapan dua malam ini ditawarkan pada harga RM100 sebelum cukai dan caj. Seorang tetamu akan dipilih berdasarkan siapa cepat, dia dapat, dan boleh membawa sehingga sembilan orang rakan.
- Tetamu akan bertanggungjawab untuk urusan perjalanan pergi dan balik ke lokasi penginapan Airbnb di Bentong, Pahang.
Nota: Semua kediaman yang disebutkan adalah untuk tujuan inspirasi semata-mata. Airbnb tidak mengesyorkan atau menyokong mana-mana penyenaraian khusus di platform Airbnb.