Siakap Keli
Helang Samudera: Perisai Maritim Negara, Naskhah Sejarah Dedikasi Kepada Wira Maritim Malaysia
Gambar Hiasan

Helang Samudera: Perisai Maritim Negara, Naskhah Sejarah Dedikasi Kepada Wira Maritim Malaysia

Helang Samudera: Perisai Maritim Negara, Naskhah Sejarah Dedikasi Kepada Wira Maritim Malaysia

PUTRAJAYA, 22 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus mengukir sejarah tersendiri apabila melancarkan buku istimewa bertajuk Helang Samudera: Perisai Maritim Negara sempena sambutan 20 tahun penubuhannya dalam satu majlis penuh istiadat dan berprestij di Putrajaya, hari ini.

Majlis peluncuran buku ini menjadi lebih bermakna apabila Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al- Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, sudi mencemar duli menyempurnakan peluncuran buku tersebut, sebagai simbol sokongan dan keprihatinan tinggi baginda terhadap peranan strategik Maritim Malaysia dalam mempertahankan keselamatan perairan negara.

Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam ucapannya menyifatkan penerbitan naskhah ini sebagai satu penghormatan besar buat wira- wira maritim negara yang selama dua dekad telah mempertaruhkan keselamatan diri demi keselamatan perairan negara.

“Buku ini bukan sekadar dokumentasi sejarah, tetapi khazanah bernilai tinggi yang memaparkan keberanian, kecekalan dan dedikasi anggota APMM dalam menangani jenayah rentas sempadan, pencerobohan perairan dan operasi menyelamat berisiko tinggi,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian, ketika menyampaikan ucapan sempena majlis berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik bin Jeman, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, serta Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, YBhg. Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.

Diterbitkan oleh Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), buku berbentuk coffee table dengan 180 halaman muka surat ini menampilkan naratif visual berkualiti tinggi, cerita-cerita operasi sebenar, serta momen dramatik yang selama ini tidak pernah dikongsi kepada khalayak umum.

Antara bab menarik dalam buku ini termasuk sejarah penubuhan Maritim Malaysia, kejayaan operasi menyelamat, rampasan kapal penyeludup, pelaksanaan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), penggunaan teknologi pengawasan canggih serta latihan berterusan yang membentuk kecekapan pasukan.

Penerbitan buku ini turut menyerlahkan kerjasama strategik Maritim Malaysia bersama agensi antarabangsa seperti US Coast Guard, Interpol, Australia Border Force (ABF), dan penguat kuasa maritim serantau dari Indonesia, Thailand dan Filipina. Jalinan kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh keselamatan perairan negara, malah menjadi batu asas kepada kestabilan rantau ini secara keseluruhan.

Sebagai usaha memperluas manfaat dan kesedaran awam terhadap peranan Maritim Malaysia, buku Helang Samudera: Perisai Maritim Negara akan diedarkan ke perpustakaan di seluruh negara, institusi pendidikan dari peringkat sekolah sehingga ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Selain itu, buku ini juga akan dihantar kepada agensi sahabat dalam dan luar negara sebagai simbol jalinan kerjasama strategik dan perkongsian ilmu dalam bidang keselamatan maritim.

Naskhah ini bukan sahaja menjadi rujukan berharga kepada pengkaji dan pencinta dunia maritim, malah berpotensi menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk memahami kepentingan mempertahankan keselamatan maritim negara.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.