Perkongsian MDEC-Universiti Zhejiang Pacu Inovasi AI Dan Ekonomi Digital
KUALA LUMPUR, 22 April 2025 – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Universiti Zhejiang baru-baru ini menandatangani Surat Hasrat (LOI) untuk bekerjasama dalam transformasi digital, ekosistem AI dan bandar pintar berasaskan ‘Model Zhejiang’, satu rangka kerja transformasi tadbir urus digital yang berjaya.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata bahawa kerjasama ini adalah strategi penting bagi aspirasi Malaysia untuk menjadi negara digital terunggul di bawah Kerajaan MADANI.
“Kerjasama ini mengukuhkan misi utama MDEC untuk membina ekosistem digital yang kukuh yang melahirkan bakat masa depan, memacu inovasi dan menyokong penyelidikan berteknologi tinggi,” kata Anuar. Beliau turut menambah bahawa inisiatif ini selaras dengan agenda transformasi digital kerajaan, yang memberi keutamaan kepada pembangunan bakat, pengurusan data yang lebih baik, keselamatan AI dan bandar pintar.
Universiti Zhejiang, dengan legasi lebih satu abad, diiktiraf secara meluas kerana peranannya dalam melahirkan bakat teknologi dan memajukan inovasi AI.
Ia turut melahirkan Liang Wenfeng, pengasas DeepSeek — sebuah pemain utama dalam bidang AI Generatif — yang inovasinya telah menjadikan model AI berprestasi tinggi lebih cekap dari segi kos dan lebih mudah diakses, mempercepatkan proses pendemokrasian teknologi AI di peringkat global.
Program pelaburan dan eksport MDEC di bawah Inisiatif Malaysia Digital telah berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang besar dan mencipta daya tarikan eksport yang ketara ke China.
Pada tahun 2024, syarikat-syarikat China di bawah program Malaysia Digital telah membuat komitmen pelaburan berjumlah RM11.9 bilion. Syarikat-syarikat Malaysia Digital telah mengeksport kira-kira RM503.4 juta ke China. Antara lima syarikat teratas mengikut nilai termasuk Vitrox Corporation Berhad, Sea Gamer Mall, Pentamaster Corporation Berhad, Inari Amerton dan Juwai-IQI Holdings, dengan sumbangan kukuh daripada industri semikonduktor, permainan digital dan teknologi hartanah (PropTech).
“Semua komponen ini adalah kunci dalam membangunkan rangkaian digital yang berjaya. Kerjasama ini akan merangkumi penerokaan ekosistem AI Universiti Zhejiang yang berkembang pesat, khususnya dalam menggalakkan kerjasama antara kerajaan, universiti, sektor swasta serta memperkasakan bakat digital,” kata Anuar.
“Aspek-aspek ini melangkaui inisiatif teknikal semata-mata dan berperanan sebagai pemangkin strategik yang menyokong matlamat lebih besar Malaysia: meningkatkan daya saing digital, melahirkan tenaga kerja bersedia masa depan dan mewujudkan bandar pintar yang inklusif serta lestari,” tambahnya.
Malaysia bakal memperoleh pandangan berharga daripada ‘Model Zhejiang’ dalam tadbir urus digital, yang menawarkan rangka kerja terbukti untuk mengintegrasikan inovasi digital ke seluruh lapisan masyarakat.
“Ketika Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini, kerjasama ini menjadi asas kepada kemajuan dipacu AI yang merentasi sempadan dua negara,” kata Anuar. “Ia mengukuhkan komitmen negara untuk mempererat hubungan serantau dan memajukan matlamat bersama dalam transformasi digital.”
Perkembangan ini hadir susulan lawatan rasmi Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping ke Malaysia minggu lalu, yang menyaksikan pengukuhan kerjasama dua hala dalam bidang digital selepas pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menteri-menteri termasuk Menteri Digital, Gobind Singh Deo.