Tradisi Sejak Berkurun Lama, Ini Proses Pemilihan Paus Baharu
Hari ini, Vatican City berduka apabila Paus Francis menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 88 tahun. Pemergian Paus Francis, atau nama sebenarnya Jorge Mario Bergoglio mencetuskan beberapa peringkat peristiwa tradisi yang telah berkurun dijalankan, iaitu pemilihan Paus baharu sebagai ganti.
Biarpun proses pemilihan Paus ini mengikut tradisi terdahulu, namun peredaran zaman membuatkan tradisi ini mengalami beberapa perubahan.
Menyelami proses tradisi ini, kekosongan tempat Paus menjadikan Gereja Katolik kini berada dalam tempoh Vacant See (Sede Vacante). Sepanjang tempoh ini, seorang kardinal kanan akan mengambil alih tugas-tugas harian buat sementara waktu sehingga Paus baharu dilantik.
Menurut AFP, kardinal kanan ini digelar sebagai camerlango iaitu Kevin Farrell, kardinal berketurunan Irish Amerika. Beliau dilantik memegang jawatan kardinal kanan oleh Paus Francis pada Februari 2019.
Tidak seperti pegawai atasan gereja yang perlu meletakkan jawatan apabila Paus Francis meninggal dunia, Farrell satu-satunya pegawai atasan yang kekal.
Mengikut adat tradisional pemilihan Paus baharu, beliau memulakan tugas dengan mengesahkan kematian Paus.
Camerlango perlu menggunakan satu tukul perak khas untuk mengetuk bahagian dahi Paus sebanyak tiga kali sambil menyeru nama asalnya.
Setelah itu, camerlango juga bertugas untuk menghapuskan sebentuk cincin emas yang ditempah khas bagi setiap Paus baru. Cincin yang dipanggil Fisherman’s Ring itu digunakan ketika memeterai dokumen.
Pada asalnya, penghapusan cincin tersebut sebagai salah satu langkah mengelakkan pemalsuan. Namun kini, tradisi yang kini dijalankan di hadapan para kardinal ketika perjumpaan pertama Sede Vacante itu hanya sebagai simbol tamatnya sesebuah legasi Paus.
Apabila berlakunya kematian Paus, para kardinal di serata dunia perlu mengadakan beberapa sesi mesyuarat yang dipanggil ‘jemaah umum’.
Menerusi mesyuarat tersebut, tarikh pengebumian akan ditetapkan dan mesti dalam tempoh empat hingga enam hari selepas kematian. Mereka juga perlu mengadakan upcara novemdiales iaitu sembilan hari berkabung.
Dalam mengadakan pengebumian bersifat sederhana, jasad Paus akan diletakkan di dalam sebuah keranda yang diperbuat daripada kayu dan zink. Penentuan ini juga merupakan perubahan tradisi yang menggunakan tiga buah keranda. Setiap satu keranda diletakkan di dalam satu keranda yang lain, masing-masing diperbuat daripada kayu cemara, plumbum dan kayu elm.
Terdahulu, Paus sebelum Francis, Benedict, dikebumikan di Basilika St Peter, Vatican. Namun, mendiang Paus Francis telah mewasiatkan agar jasadnya dikebumikan di Basilika Santa Maria Maggiore, Rom.
Para penganut agama Kristian di Basilika St Peter bakal berpeluang memberikan penghormatan terakhir ketika jasad Paus Francis diletakkan di dalam keranda yang terbuka.
Selepas upacara pengebumian Paus, persidangan jemaah umum akan menentukan tarikh persidangan sulit yang mesti dijalankan dalam tempoh 15 hingga 20 hari selepas kematian Paus. Persidangan ini merupakan satu cara yang baik dalam meneliti papabili, iaitu calon-calon yang berpotensi menggantikan Paus.
Mengikut sistem yang dimulakan pada abad ke-13, persidangan sulit ini pada awalnya disertai oleh para kardinal berumur bawah 80 tahun. Mereka akan memilih Paus seterusnya dalam kalangan rakan sebaya.
Hari ini, jumlah ‘pemilih kardinal’ mencecah seramai 135 termasuk 108 kardinal yang dilantik oleh Paus Francis. Kesemua kardinal mesti kekal di sana selagi Paus baharu belum ditentukan.
Sejak abad ke-19, persidangan sulit diadakan di Gereja Kecil Sistine. Sepanjang proses mengundi, setiap kardinal terikat dengan kerahsiaan mutlak. Setiap hari, dua pengundian dijalankan pada sebelah pagi dan dua lagi pada waktu tengah hari.
Pengundian berjalan sehingga seorang calon memenangi dua pertiga daripada jumlah undian.
Kertas undian akan dibakar di dalam sebuah dapur di gereja kecil tersebut setiap kali tamat proses pengundian. Menariknya, keputusan pengundian akan ‘diumumkan’ menerusi warna asap pembakaran kertas undian tersebut. Asap berwarna hitam menandakan undian gagal manakala asap berwarna putih bermaksud undian berjaya.
Tatkala asap putih berkepul-kepul keluar dari serombong asap, loceng Basilika St Peter akan dibunyikan.
Apabila namanya terpilih, Paus baharu akan dibawa ke sebuah tempat suci kecil di Gereja Kecil Sistine. Tempat ini dikenali sebagai Bilik Air Mata atau sala delle lacrine bagi merenung masa hadapannya.
Setelah itu, Dekan Kolej Kardinal yang kini disandang oleh Kardinal Giovanni Battista Re akan bertanya kepada Paus sama ada beliau bersetuju untuk menerima pelantikan tersebut atau tidak. Dalam masa yang sama, beliau turut akan ditanya berkenaan nama yang ingin digunakan.
Sejurus nama dipilih, beliau serta-merta akan dilantik menjadi uskup Rom dan Paus. Beliau akan dipakaikan jubah yang telah disediakan terlebih dahulu dengan tiga saiz berlainan. Kemudian, para kardinal akan memberi penghormatan kepadanya seorang demi seorang.
Selesai sahaja sesi tersebut, Paus akan diminta muncul di serambi Basilika St Peter. Paderi kardinal kanan yang kini disaandang oleh Renato Raffaele Martino akan melaungkan frasa terkenal bahasa Latin,”Habemus Papam.” Frasa ini bermaksud, kita ada Paus.
Sumber: AFP