Pameran Semangat ASEAN dan Pameran Karya Agung Tonjolkan Kepelbagaian Warisan, Identiti Serantau dan Perpaduan Nasional
KUALA LUMPUR, 24 April – Koleksi The Birth of the Association of Southeast Asia Nations (ASEAN) (Archieves about the Formation ASEAN, 1967-1976) telah berjaya diiktiraf di bawah Daftar Warisan Dunia UNESCO atau UNESCO Memory of the World (MoW) International Register pada 17 April 2025 di Paris, Perancis.
Lebih membanggakan, Deklarasi ASEAN (The ASEAN Declaration) bertarikh 8 Ogos 1967 yang terdapat di Arkib Negara Malaysia telah menyumbang kepada kejayaan ini. Perkara ini diumumkan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara di Majlis Peluncuran Pameran Semangat ASEAN, Pemeran Karya Agung dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Muzium Malaysia, hari ini.
Menurut beliau, turut juga mendapat pengiktirafan UNESCO Memory of the World International Register adalah The Works of Hamzah Fansuri, karya agung kesusteraan Melayu abad ke-16 menerusi pencalonan bersama Perpustakaan Negara Malaysia dan Perpustakaan Republik Indonesia.
YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara berkata ‘pengiktirafan ini amat signnifikan kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini’. Tambah beliau, bagi menonjolkan kepelbagaian budaya, kesenian dan warisan negara serta serantau, Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menganjurkan Pameran Semangat ASEAN dan Pameran Karya Agung.
Pameran Semangat ASEAN diadakan sempena Malaysia selaku Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan Keterangkuman dan Kemampanan bermula dari 21 April hingga 31 Ogos 2025 di Galeri 2, Jabatan Muzium Malaysia.
Sebanyak 120 koleksi dari negara-negara ASEAN dipamerkan yang memperlihatkan warisan budaya, sejarah, dan amalan lestari yang mencerminkan keunikan setiap negara anggota. Pameran ini menonjolkan bagaimana kepelbagaian dalam ASEAN menjadi kekuatan dalam membina komuniti serantau yang bersatu dan stabil. “Pameran ini bukan sahaja memperkaya pemahaman terhadap identiti ASEAN, tetapi turut menjadi platfor untuk menyemai semangat kebersamaan dan saling menghormati dalam kalangan negara jiran,” ujar YB Datuk Aaron.
Sementara itu, Pameran Karya Agung yang berlangsung dari 15 April hingga 30 Jun 2025 merupakan kolaboratif JMM dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Pameran ini menghimpunkan koleksi eksklusif seni kraf tempatan sebanyak 64 koleksi.
Koleksi yang dipamerkan merangkumi seni tekstil, hasil rimba, hasil logam dan hasil tanah. Pameran ini memberi pengiktirafan kepada individu yang telah menyumbang secara signifikan dalam mengekalkan serta memartabatkan seni warisan negara di samping mendidik masyarakat untuk menghargai nilai estetika, sejarah dan identiti tempatan.
Program sampingan seperti Wacana Kraf, Demonstrasi Kraf dan Aktiviti Interaktif turut diadakan sepanjang tempoh pameran berlangsung bagi mendekatkan masyarakat dengan dunia seni kraf secara lebih menyeluruh.