Ruang Daya Cipta (RDC)@UTC Kota Bharu, Kelantan: Penjana Ilmu dan Idea Masa Depan
KOTA BHARU, 24 APRIL 2025 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus komited memperkukuh keterlibatan masyarakat melalui perasmian Ruang Daya Cipta (RDC)@UTC Kota Bharu, Kelantan. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada strategi nasional Kerajaan MADANI dalam memperluas kefahaman serta penggunaan elemen Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dalam kalangan rakyat.
Usaha ini sejajar dengan teras Malaysia MADANI: Daya Cipta, yang menekankan penyediaan persekitaran dan infrastruktur bagi merangsang kreativiti serta menggalakkan penghasilan sistem, produk, idea dan proses yang inovatif, khususnya di kawasan luar bandar.
RDC Kota Bharu yang siap dibangunkan pada Mac 2025 dilengkapi dengan pelbagai kemudahan teknologi seperti komputer, pencetak 3D, dan studio digital bagi menyokong pembangunan kemahiran teknologi dan kreativiti dalam kalangan masyarakat. Pembangunan fasiliti ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperkasakan agenda pembangunan teknologi di peringkat akar umbi. RDC ini juga merupakan pusat kedua yang diwujudkan di Kelantan selepas RDC Tumpat di Kampung Laut.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang, “Pendekatan pembangunan Ruang Daya Cipta (RDC) perlu lebih fokus dan berimpak tinggi, bukan sekadar menambah bilangan RDC semata-mata. RDC harus berperanan sebagai Pusat Kecemerlangan Inovasi (Centre of Excellence) yang menumpukan kepada inovasi berasaskan keperluan sebenar masyarakat serta memperkasa kualiti dan daya saing produk tempatan.”
Bagi RDC@UTC Kota Bharu, sasaran ditetapkan untuk menerima lebih 5,000 pengunjung dalam tahun pertama pelaksanaannya, dengan sekurang-kurangnya 1,500 peserta komuniti terlibat dalam latihan serta menggunakan kemudahan teknologi yang disediakan seperti pencetak 3D, studio digital, dan fasiliti lain. Usaha ini selari dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperluas akses kepada teknologi, merakyatkan inovasi, dan memperkasa masyarakat luar bandar melalui ilmu serta pembangunan berasaskan sains, teknologi dan inovasi (STI).
RDC@UTC Kota Bharu dijangka memberi impak besar kepada komuniti setempat dengan memperkasa ilmu dan kemahiran berkaitan teknologi dan inovasi, selaras dengan Dasar Inovasi Sosial (DIS) MOSTI yang membangunkan ekosistem STI inklusif dan berimpak langsung kepada masyarakat akar umbi. Selain menyediakan kemudahan teknologi, RDC juga berfungsi sebagai platform mencetuskan idea baharu yang berpotensi dikomersialkan, sekali gus merancakkan ekonomi tempatan.
Sempena majlis perasmian tersebut, turut berlangsung sesi penyerahan geran YIM di bawah Program MyIS Akar Umbi/MaGRIs Tahun 2022 bagi projek Multiple Aids for Paediatric Rehabilitation (MAIDs 5). Projek ini dibangunkan oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Hafiz bin Hanafi dari Unit Perubatan Pemulihan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, dengan jumlah geran sebanyak RM62,000.00.
MAIDs 5 menawarkan penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi oleh perawat dan penjaga pesakit OKU dalam rawatan pemulihan. Peranti ini menggabungkan lima fungsi dalam satu – membantu pesakit untuk duduk, berdiri, berjalan, menggunakan stroller serta menyokong aktiviti harian dan motor halus – sekali gus mempercepatkan proses pemulihan, memperbaiki perkembangan pesakit dan mengurangkan kos penjagaan. Ia juga memberikan penyelesaian kepada rawatan kanak-kanak dengan masalah perkembangan motor seperti Down Syndrome, Hydrocephalus dan Cerebral Palsy pada kos yang lebih berpatutan.
Sehingga kini, sebanyak 21 RDC telah diwujudkan di seluruh negara, termasuk empat (4) di Sabah, tiga (3) di Johor, dua (2) masing-masing di Pahang, Sarawak, Kelantan dan Perak, serta satu (1) masing-masing di Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah, Kuala Lumpur dan Melaka.