Siakap Keli
intimate wedding lebih jimat
Kredit: Bernama

Lebih Jimat Dan Bermakna, Konsep “Intimate Wedding” Jadi Pilihan Pasangan Muda

Lebih Jimat Dan Bermakna, Konsep “Intimate Wedding” Jadi Pilihan Pasangan Muda

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) — Majlis perkahwinan berskala kecil atau intimate wedding semakin mendapat tempat dalam kalangan pasangan muda yang mahukan suasana lebih peribadi dan santai namun penuh makna.

Tanpa dewan besar atau ribuan tetamu, konsep ini memberi ruang kepada pasangan raja sehari meraikan cinta mereka bersama-sama dengan insan terdekat dalam persekitaran yang sarat dengan emosi.

Menurut perancang majlis perkahwinan Amirah Abdul Halim, walimatulurus sebegini lazimnya melibatkan 80 hingga 300 tetamu terdiri daripada ahli keluarga terdekat dan rakan rapat di lokasi seperti vila, kafe atau taman.

Jika mereka menganggap majlis perkahwinan kecil-kecilan ini menjimatkan, Amirah yang turut menyewakan lokasi acara, berkata ada pasangan berkemampuan memilih konsep itu kerana mahu memastikan sumber dibelanjakan pada perkara-perkara yang benar-benar memberi makna.

“Ada yang fokuskan perbelanjaan pada videografik sinematik, busana atau makanan berkualiti tinggi, kerana merela utamakan kualiti berbanding kuantiti,” katanya kepada Bernama.

Kos keseluruhan katanya bergantung pada beberapa faktor seperti jenis lokasi, pakej makanan, dekorasi, jurugambar, pakaian dan hiburan.

“Namun begitu, masih ada cara untuk memastikan majlis kekal menarik tanpa melebihi belanjawan seperti memilih lokasi yang sedia indah secara semula jadi, mengehadkan jumlah jemputan dan menggunakan penyedia perkhidmatan yang tidak terlalu dikenali,” katanya sambil menasihati bakal raja sehari agar merancang terlebih dahulu belanjawan dan konsep yang diinginkan.

Pengusaha dewan acara Norsyafalina Yahaya pula berkata konsep itu semakin diterima selepas penularan COVID-19 pada 2020 yang menyaksikan penguatkuasaan larangan perhimpunan berskala besar, ditambah pula dengan perkongsian pempengaruh media sosial yang memuat naik momen indah sedemikian di platform masing-masing.

Pengasas bersama Chendana Puri Weddings & Events di Negeri Sembilan itu berkata kewangan turut menjadi faktor, membuatkan kian ramai pengusaha menawarkan pakej mesra poket sekali gus menarik lebih ramai pasangan muda memilih konsep tersebut.

Katanya dengan pakej serendah RM6,000, pasangan pengantin masih dapat melangsungkan majlis mereka dalam suasana “kenduri” dengan adat berarak dan lain-lain.

“Kos ini tidak termasuk elemen seperti busana dan mekap, kerana pengantin lazimnya lebih suka cari sendiri mengikut cita rasa mereka,” jelasnya, menambah ada yang sekadar mahukan majlis kecil seperti “kenduri kesyukuran”.

Mengakui persetujuan keluarga yang biasanya mahukan sambutan lebih gah menjadi antara cabaran bagi mengadakan majlis kecil, Ayu Fitri Saidatulnisa Raman yang memilih meraikan hari bahagianya bersama-sama dengan 100 tetamu, berkata komunikasi memainkan peranan penting bagi mengatasi isu itu.

Berkongsi pengalaman, wanita berusia 24 tahun itu berkata dia dan pasangannya terlebih dahulu menetapkan visi seperti peruntukan, jumlah jemputan dan fokus kehidupan selepas perkahwinan yang kemudian dibincangkan secara telus dengan ibu bapa masing-masing.

“Bagi memastikan keluarga tidak rasa tersisih, kami ini turut libatkan ibu bapa dalam perincian seperti pemilihan makanan dan atur cara,” kongsinya yang membelanjakan sekitar RM13,000 untuk menjayakan majlis itu.

Turut sependapat, Puteri Nurfarhah Mohd Zain, 26, yang menyifatkan majlis kecil bukan satu kekurangan.

Sebaliknya kata wanita itu, dia dan suaminya berpuas hati serta menganggap majlis mereka sebagai sempurna dan meninggalkan momen indah serta kenangan bermakna.

“Nasihat saya jangan malu ingin pertimbangkan majlis yang kecil kerana momen yang indah itu bermula daripada keluarga yang menjadi tulang belakang, sahabat yang sentiasa ada di sisi dan kasih sayang yang mengalir tanpa syarat, menjadikan hari bahagia lebih bermakna dan penuh erti.

“Jika tidak mendapat sokongan keluarga atau pasangan untuk majlis kahwin secara intimate, jangan bersedih kerana setiap orang punya pandangan berbeza dan sebaiknya bincang secara terbuka agar tiada yang terguris,” katanya.

Sumber: Bernama

BACA: Warisan Turun-Temurun, Wanita Kongsi Resipi Udang Masak Diraja

BACA: Penemuan Misteri Warna Baharu, Didakwa Tak Nampak Di Mata Kasar

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.