Penemuan Misteri Warna Baharu, Didakwa Tak Nampak Di Mata Kasar
Seluruh dunia kita diceriakan dengan pelbagai spektrum warna. Spektrum ini terhasil apabila warna cahaya matahari dibiaskan. Di bangku sekolah, kita pelajari tujuh warna pelangi yang terhasil daripada pembiasan cahaya. Warna yang pelbagai ini muncul apabila cahaya matahari dibiaskan dengan gelombang yang berbeza.
Biarpun pada asasnya, kita ketahui terdapat tujuh warna yang dibiaskan daripada cahaya matahari, sebenarnya terdapat kira-kira 16 juta warna berbeza di dunia menurut pensyarah Sains Warna dan Pengimejan, Universiti Leeds, Profesor Madya Dr Vien Cheung.
Walau bagaimanapun, baru-baru ini sekumpulan saintis dari Universiti California mendakwa telah menemui satu lagi warna baharu, yang diberi nama ‘olo’. Namun begitu, warna baharu yang misteri ini tidak dapat dilihat menggunakan mata kasar manusia.
Menurut jurutera elektrik yang juga profesor sains komputer, Ren Ng, warna misteri ini bersifat biru kehijauan yang pekat.
“Warna ini merupakan variasi warna biru-hijau, teal atau hijau merak. Semua warna ini boleh dikatakan sebagai penerangan yang tepat.
“Saya rasa warna ini lebih kompleks daripada itu disebabkan tahap ketepuan warnanya. Saya akan gambarkannya sebagai warna teal paling pekat dan menonjol yang dapat dilihat oleh dunia. Warna itu memang sangat menyerlah,” katanya.
Untuk pengetahuan anda, dapatan kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal Science Advances pada 18 April 2025.
Berikut merupakan penerangan ringkas proses para saintis berkenaan menemui warna olo ini.
Pada mata manusia, terdapat tiga jenis sel kon dikenali sebagai S, L dan M. Setiap satu sel kon ini sensitif terhadap warna biru, merah dan hijau. Menggunakan penglihatan normal, sebarang cahaya yang merangsang sel kon M pasti akan merangsang sel kon bersebelahannya sama ada salah satu atau kedua-duanya.
Menerusi penyelidikan mereka, saintis ini menggunakan cahaya laser untuk merangsang sel kon M sahaja. Rangsangan ini menghasilkan isyarat warna yang tidak berlaku secara semula jadi. Hanya rangsangan tertentu yang dapat mendorong penglihatan melepasi had normal bagi melihat warna olo iaitu dengan menggunakan cahaya laser bagi merangsang sehingga 1,000 fotoreseptor pada mata manusia.
Penemuan ini memerlukan usaha penyelidikan selama empat tahun. Kumpulan saintis ini berharap penemuan warna olo ini bukan sekadar memperkenalkan warna baharu kepada dunia. Malah, teknologi ini diharapkan dapat membantu golongan yang mengalami buta warna sekaligus memahami proses otak mentafsir warna melalui perbezaan sel kon dalam mata manusia.
Dalam masa yang sama, teknologi ini juga berpotensi membantu penyelidikan penyakit retina seperti kehilangan sel kon. Penyakit ini mampu menyebabkan seseorang itu tidak dapat melihat warna dengan jelas dan menjadi sensitif terhadap cahaya.
Menurut Ng, orang ramai tidak akan dapat melihat warna olo muncul sebagai salah satu pilihan warna kertas, cat atau krayon dalam masa terdekat. Namun, mereka yakin warna ini bakal dapat dilihat menerusi dunia realiti maya (virtual reality).
Sumber: USA Today, Universiti Leeds
BACA: Tradisi Sejak Berkurun Lama, Ini Proses Pemilihan Paus Baharu
BACA: Senarai Tokoh Bersemadi Di Makam Pahlawan Masjid Negara