Siakap Keli
Jejak Harmoni Metasemesta Dan Dialog Harmoni Platform Inovatif Perkukuh Perpaduan Nasional
Gambar Hiasan

Jejak Harmoni Metasemesta Dan Dialog Harmoni Platform Inovatif Perkukuh Perpaduan Nasional

Jejak Harmoni Metasemesta Dan Dialog Harmoni Platform Inovatif Perkukuh Perpaduan Nasional

KUALA LUMPUR, 26 April – Program Jejak Harmoni Metasemesta dan Dialog Harmoni Tahun 2025 yang dirasmikan oleh YB Senator Puan Saraswathy Kandasami, Timbalan Menteri Perpaduan Negara hari ini menjadi medan penting dalam memupuk kefahaman antara budaya dan memperkukuh perpaduan nasional.

Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri menegaskan bahawa teknologi kecerdasan buatan (Al) dan pendigitalan memainkan peranan signifikan dalam mengekalkan keharmonian sosial, antaranya menerusi pemantauan sentimen masyarakat, pembangunan platform dialog maya, serta pembelajaran sepanjang hayat yang menjangkau pelbagai lapisan rakyat.

“Melalui Al, kita mampu mengesan potensi konflik lebih awal dan mengambil langkah intervensi. Lebih penting lagi, ia membantu memperluas akses kepada pendidikan mengenai kepelbagaian budaya,” ujar beliau.

Beliau turut mengiktiraf inisiatif strategik Program Dokumentari Jejak Harmoni 2024 yang mendapat sambutan hangat dan berjaya mempamerkan realiti keharmonian dalam komuniti pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

Bagi menarik minat golongan muda khususnya Generasi Z dan Alfa pendekatan baharu melalui kandungan digital kreatif seperti video pendek, permainan pendidikan, serta aplikasi interaktif berasaskan perpaduan dan budaya turut diperkenalkan.

YB Senator Puan Saraswathy juga menekankan pentingnya kesedaran awam, daya tahan komuniti dan nilai-nilai Malaysia MADANI seperti hormat, ihsan, dan keyakinan sebagai teras kepada kestabilan sosial.

“Dialog Harmoni ini bukan sekadar menyampaikan maklumat dasar kerajaan, tetapi juga membuka ruang rakyat menyuarakan pandangan dalam suasana penuh hormat dan toleransi,” katanya.

Majlis perasmian yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur itu disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, pemimpin komuniti, serta wakil masyarakat pelbagai latar belakang, mencerminkan semangat Harmoni dalam Kepelbagaian – tema utama program pada tahun ini.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.