Varieti Kenaf Baharu Tawar Daya Saing Lebih Tinggi
KOTA BHARU, 27 April 2025 – Agensi Nuklear Malaysia dengan kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah melancarkan dua varieti benih kenaf baharu iaitu MK1 dan MK2, yang menawarkan potensi hasil lebih tinggi dan daya saing lebih kukuh dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.
Varieti baharu ini merupakan hasil usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) menggunakan teknologi penyinaran gama, di mana benih MK1 dihasilkan melalui penyinaran gama pada dos 300 Gray (Gy) dan MK2 pada dos 800 Gy. Kaedah mutasi teraruh ini digunakan untuk meningkatkan ciri agronomi tanaman kenaf agar lebih tahan terhadap perubahan iklim serta menghasilkan hasil yang lebih tinggi.
MK1 dan MK2 menunjukkan peningkatan hasil yang ketara berbanding varieti induk V36 yang telah digunakan melebihi 15 tahun di Malaysia. Berdasarkan kajian di plot tanaman LKTN di Beseri, Perlis anggaran berat batang basah di ladang adalah antara 24 hingga 32 tan sehektar iaitu peningkatan 20 hingga 60 peratus berbanding hasil semasa varieti V36 antara 20 hingga 25 tan sehektar.
Selain potensi hasil yang lebih tinggi, kedua-dua varieti ini menampilkan ciri rupa fizikal yang unik termasuk daun berbentuk palmate serta kelopak bunga MK1 yang berwarna kuning cair sepenuhnya. Sekaligus ciri-ciri ini menjadikan ia mudah untuk dikenalpasti.
Varieti MK1 dan MK2 telah mendapat pengiktirafan rasmi melalui kelulusan Pemfailan Varieti Baharu Tumbuhan (PVBT) daripada Jabatan Pertanian Malaysia dengan nombor pemfailan PVBT 003/25 (MK1) dan PVBT 004/25 (MK2). Nama MK merujuk kepada “Malaysia Kenaf” sekaligus ia memperkukuh identiti tempatan dalam usaha memperkasa industri kenaf negara.
Pembangunan varieti baharu ini adalah manifestasi sokongan terhadap pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menggariskan pemerkasaan aplikasi teknologi nuklear dalam sektor bukan tenaga termasuk pertanian dan industri bioteknologi bagi menyokong kemajuan sosioekonomi dan kelestarian negara. Usaha ini turut selari dengan matlamat Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 dalam memperkukuh industri agrikomoditi negara melalui inovasi sains dan teknologi.
Kerjasama strategik ini membuktikan potensi teknologi nuklear dalam sektor pertanian, khususnya dalam pembangunan varieti tanaman baharu yang lebih tahan dan produktif sejajar dengan usaha kerajaan memantapkan sekuriti makanan dan pertanian lestari dalam era perubahan iklim.
Agensi Nuklear Malaysia terus komited dalam merakyatkan teknologi nuklear melalui pembangunan penyelesaian inovatif yang memberi impak langsung kepada rakyat, sektor industri dan ekonomi negara. Pendekatan ini bukan sahaja memperluaskan penggunaan teknologi nuklear secara aman, tetapi juga memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sumbangan teknologi ini dalam kehidupan seharian, khususnya dalam bidang keselamatan makanan, kesihatan dan alam sekitar.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Hotel Renai, Kota Bharu, Kelantan.
Turut sama hadir dalam program ini adalah YBhg. Dato’ Yusran Shah bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha, Kementerian Perladangan dan Komoditi, YBhg. Datuk Haji Wan Abdul Rahim bin Wan Abdullah, Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LTKN) dan YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah, Agensi Nuklear Malaysia.