Stesen Keretapi Kuala Lumpur Diiktiraf Kelima Tercantik Di Dunia
Stesen kereta api bukan sahaja berfungsi sebagai pusat transit tetapi ia juga merupakan mercu tanda seni bina dan budaya sesebuah bandar.
Sesetengah stesen lama mengekalkan keindahan klasik yang mencerminkan sejarah dan warisan tempatan manakala yang lain pula tampil dengan reka bentuk moden dan futuristik.
Jadi, pengiktirafan antarabangsa terhadap keindahan seni bina stesen kereta api bukan akan meningkatkan reputasi bandar dimana lokasi stesen kereta api itu berada.
Malah ia juga memperkukuhkan nilai sejarah dan daya tarikan pelancong.
Baru-baru ini, Stesen Keretapi Kuala Lumpur mendapat pengiktirafan apabila disenaraikan sebagai stesen kelima tercantik di dunia oleh Condé Nast Traveler.
Stesen Antwerpen-Central di Belgium muncul sebagai stesen kereta api paling indah di dunia, diikuti Stesen Kereta api Haydarpasa di Turkiye di tangga kedua dan Stesen Hungerburg di Austria di tangga ketiga.
Manakala Stesen Kanazawa di Jepun melengkapkan senarai lima teratas stesen kereta api tercantik di dunia.

Warisan seni bina Indo-Saracenic
Stesen Keretapi Kuala Lumpur ini dibuka pada tahun 1910 dan direka oleh arkitek British, Arthur Benison Hubback.
Selain stesen ini, beliau turut mereka bentuk beberapa bangunan ikonik Malaysia yang lain seperti Sultan Abdul Samad dan Masjid Jamek.
Gaya seni bina stesen ini dikenali sebagai Indo-Saracenic yang menggabungkan elemen seni bina Islam, India dan Eropah.
Ciri-ciri seperti kubah, menara kecil (chhatris) dan lengkungan hiasan memberikan identiti tersendiri kepada stesen kereta api ini.
Walaupun stesen ini tidak lagi menjadi stesen utama di Malaysia, seni bina Indo-Saracenicnya tetap menjadi tarikan.
Stesen kereta api yang menjadi tarikan pelancong
Stesen yang terletak di Jalan Sultan Hishamuddin ini bukan sahaja berfungsi sebagai perhentian perkhidmatan KTM Komuter, tetapi juga sebagai destinasi pelancongan yang penting.
Keindahan seni bina stesen ini menjadikannya latar belakang popular untuk bergambar yang sering menjadi kunjungan pelancong.
Stesen ini juga melambangkan era keemasan stesen kereta api di Tanah Melayu dan menjadi simbol kemajuan infrastruktur pada awal abad ke-20.
Pengiktirafan oleh Condé Nast Traveler mengukuhkan lagi kedudukan Stesen Keretapi Kuala Lumpur sebagai salah satu mercu tanda seni bina tercantik di dunia.
Bagi rakyat Malaysia, ia adalah lambang warisan sejarah dan kebanggaan negara yang patut dipelihara untuk generasi yang akan datang.
BACA: Kari Ayam Malaysia Diiktiraf Stew Terbaik Dunia
BACA: Video Nenek Baca Yasin Luar Dewan: Perkongsian Kakak Undang Hiba
BACA: Khazanah Laut Berusia 800 Tahun: Terumbu Karang Purba Dijumpai Di Laut Merah
Sumber: DataRoyals, Arkib Negara Malaysia