Ini Situasi Yang Bakal Terjadi Pada Manusia Jika Bekalan Elektrik Terputus Tiba-Tiba
Pernahkah anda terfikir dunia tanpa bekalan elektrik? Bayangkan dunia yang tiba-tiba diselubungi kegelapan. Tiada lampu, tiada internet, tiada mesin ATM, dan banyak lagi.
Itulah realiti yang dihadapi oleh jutaan penduduk di Sepanyol dan Portugal pada 28 April 2025 apabila bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba. Secara tidak langsung menyebabkan gangguan dalam kehidupan harian manusia.
Hari ini, SK akan kongsikan apakah senario yang akan berlaku pada umat manusia sekiranya sumber bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba.
Nyawa Manusia Terancam & Kesihatan Fizikal Terjejas
Tahukah anda ketiadaan bekalan elektrik sebenarnya boleh mengancam nyawa manusia?
Menurut Dr. Joan Casey dari University of Washington, individu yang bergantung kepada peralatan perubatan seperti mesin CPAP atau pam jantung elektrik dan mesin oksigen berisiko tinggi semasa gangguan bekalan elektrik.
Misalnya, pesakit yang menggunakan mesin bantuan pernafasan seperti CPAP mungkin sukar untuk bernafas jika tiada sumber kuasa.
Cuba bayangkan bagaimana keadaan pesakit-pesakit termasuk bayi dalam inkubator tanpa alat penting ini. Sudah tentu perkara ini boleh mendorong kepada kematian.
Pada tahun 2003, berlaku gangguan elektrik berskala besar, menyaksikan jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat masalah pernafasan meningkat dengan mendadak. Perkara ini menunjukkan betapa sumber tenaga ini sangat memberi impak pada nyawa manusia.
Selain itu, lif yang tidak berfungsi akan menyukarkan pemindahan pesakit ke unit rawatan intensif, menyebabkan kelewatan rawatan kecemasan.
Sementara penggunaan sumber pemanasan alternatif seperti generator atau kereta yang dihidupkan dalam garaj tertutup boleh menyebabkan keracunan karbon monoksida, gas yang tidak berbau dan boleh membawa maut.
Kesihatan Mental
Dari segi kesihatan mental pula, gangguan bekalan elektrik boleh mencetuskan tekanan, kebimbangan, dan perasaan terasing (kesan psikologi) pada individu tersebut.
Ini kerana kehidupan manusia kini yang bergantung kepada komunikasi dan hiburan boleh menjadi ‘racun’ terutamanya bagi mereka yang sudah mengalami masalah kesihatan mental.
Kesan Meluas Kepada Infrastruktur & Kehidupan Harian
Gangguan elektrik secara besar-besaran, sama ada disebabkan oleh ribut, banjir, letupan suria (solar flares), atau serangan siber, mampu melumpuhkan sistem sesebuah negara dalam masa yang singkat.
Tanpa bekalan elektrik, banyak aspek penting kehidupan harian akan terjejas.
Salah satunya akses kepada air bersih akan terganggu kerana sistem pam air tidak dapat beroperasi, manakala sistem pemanasan, perkhidmatan telefon, perbankan, serta bekalan makanan dan ubat-ubatan yang memerlukan penyejukan juga akan terjejas.
Keadaan ini dapat digambarkan dalam peristiwa yang menimpa hampir satu perlima penduduk Kyiv, Ukraine pada tahun 2015, di mana berlaku gangguan bekalan elektrik selepas stesen janakuasa ditutup secara automatik akibat serangan siber.
Situasi seperti ini bukan sahaja menyusahkan, tetapi juga boleh memberi kesan yang serius dan serta-merta kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, dan pesakit yang menghidap penyakit kronik.
Tragedi Venezuela
Pada bulan Mac 2019, Venezuela mengalami gangguan elektrik selama lima hari yang menyebabkan hospital-hospital kehilangan bekalan kuasa sepenuhnya.
Akibatnya, seramai 26 orang dilaporkan meninggal dunia termasuk pesakit buah pinggang yang tidak dapat menjalani rawatan dialisis dan mangsa tembakan yang tidak sempat dibedah.
Keadaan menjadi lebih tragik apabila bayi pramatang yang sepatutnya ditempatkan di inkubator tidak mendapat bekalan elektrik, memaksa kakitangan menggunakan selimut untuk memanaskan mereka.
Malah, ada kakitangan yang terpaksa memicit alat bantuan pernafasan secara manual dengan tangan sepanjang hari demi memastikan pesakit terus bernafas.
Elektrik Bukanlah Sekadar Bekalan Tenaga
Jelaslah bahawa bekalan elektrik bukan sekadar satu bentuk kemudahan moden, tetapi keperluan asas yang menjadi tunjang kepada kelangsungan hidup manusia hari ini.
Tanpanya, pelbagai sistem penting seperti kesihatan, komunikasi, makanan, air dan keselamatan boleh lumpuh sekelip mata.
Kesan yang timbul bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal dan mental, malah turut menggugat kestabilan sosial secara menyeluruh.