MARA Beri Keutamaan Tajaan Kepada Pelajar Cemerlang SPM Yang Hafaz Al-Quran – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR — Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memberikan keutamaan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi pembiayaan pengajian ke luar negara dalam bidang-bidang profesional strategik.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi MARA, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.
“Pelajar cemerlang SPM yang hafaz Al-Quran akan diberikan keutamaan oleh MARA untuk dibiayai pengajian mereka ke luar negara dalam bidang strategik profesional,” katanya.
https://www.facebook.com/drasyrafwajdidusuki/posts/pfbid022gXkV6yeDZajQpc9HkiXh1EJUZmqsox9qcuZzfY9eVia4WY8QZc5d8QcUkKNcVTVl
Sebelum ini, keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan pada Khamis lalu merupakan pencapaian terbaik sejak 2013 dengan indeks Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.49 mata berbanding 4.60 mata pada 2023.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan berkata, pencapaian tersebut juga menyaksikan seramai 355,933 calon atau 94 peratus layak diberikan sijil SPM 2024 berbanding 349,297 calon pada tahun sebelumnya.
“Angka ini telah menunjukkan peningkatan sebanyak 6,636 calon atau 0.5 peratus.
“Peningkatan ini merupakan pencapaian terbaik sejak syarat pensijilan pada 2013 diperkenalkan dengan calon wajib lulus dua mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah,” kata beliau semasa membentangkan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan 2024.
Dalam pada itu, seramai 14,179 calon atau 3.7 peratus turut mencatatkan keputusan cemarlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Keputusan itu meningkat sebanyak 2,466 calon (0.6 peratus) berbanding 11,713 calon yang meraih keputusan cemerlang yang sama pada 2023.
Secara keseluruhan, sebanyak 59 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi, manakala 30 mata pelajaran lagi menunjukkan penurunan prestasi dan 1 lagi mengekalkan prestasi.
Sebanyak 5 mata pelajaran dengan format baharu turut diperkenalkan buat pertama kali pada 2024.
Enam daripada tujuh mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik dan Sains telah menunjukkan peningkatan prestasi pada tahun peperiksaan SPM tahun lepas.
Manakala satu lagi mata pelajaran teras iaitu Pendidikan Moral pula menunjukkan sedikit penurunan prestasi iaitu sebanyak 0.07 mata
Sumber: Facebook Dr Asyrad Wajdi Dusuki