PTPTN Bantu Selesaikan Pinjaman Mangsa Kemalangan
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan penuh rasa simpati melalui Program Ziarah PTPTN Prihatin telah menziarahi waris kepada mangsa tragedi nahas kemalangan melibatkan dua (2) buah bas di hadapan perhentian bas dekat Jalan Persiaran Perdana, Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu Allahyarhamah Manarina Hasya Muhamad Karim.
Sesi ziarah dan penyerahan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) telah diadakan di kediaman waris Allahyarhamah di Felda Chemplak, Labis, Johor yang disempurnakan oleh YBrs. Puan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN yang mewakili Pengerusi dan Pengurusan PTPTN. Turut hadir Puan Rafidah binti Sidek, Pengurus Cawangan Pejabat PTPTN Negeri Johor.
Allahyarhamah Manarina Hasya Muhamad Karim, 22 tahun merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pemasaran Dengan Kepujian, UUM yang juga peminjam PTPTN. Melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok pinjaman pendidikan PTPTN, Allahyarhamah layak mendapat penyelesaian keseluruhan hutang pinjaman bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda berjumlah RM12,629.82 dan waris akan menerima khairat kematian berjumlah RM1,500. Selain itu, PTPTN turut menyerahkan sumbangan CSR berupa wang tunai berjumlah RM2,000 dan sumbangan kotak makanan kepada waris Allahyarhamah.
Tragedi yang berlaku pada 19 April 2025 lalu telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah. PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited melaksanakan program-program CSR dan menjaga kebajikan peminjamnya. Dengan keprihatinan PTPTN ini mampu membantu meringankan beban yang ditanggung oleh waris peminjam PTPTN.
PTPTN menyampaikan rasa simpati kepada keluarga Allahyarhamah. Semoga manfaat yang diterima melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok pinjaman pendidikan PTPTN dapat memberikan sedikit kelegaan dan sokongan kepada waris Allahyarhamah dalam waktu yang sukar ini. Setiap manfaat yang diterima adalah tanda keprihatinan PTPTN dan harapan untuk masa hadapan yang lebih baik bagi keluarga yang terlibat.
Perlindungan takaful berkelompok adalah bertujuan untuk melindungi jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan oleh PTPTN kepada peminjam untuk tempoh 24 jam sehari dan meliputi seluruh dunia sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh.
Bagi mana-mana peminjam yang telah meninggal dunia atau mengalami keilatan, waris/ penuntut perlu membuat tuntutan dengan melengkapkan Borang Permohonan Tuntutan Takaful yang boleh diperolehi melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my. Borang Permohonan Tuntutan Takaful beserta dokumen sokongan yang diperlukan hendaklah dikemukakan ke Pejabat PTPTN Negeri/ Cawangan yang berhampiran atau diposkan ke Ibu Pejabat PTPTN, Menara PTPTN, Kuala Lumpur.