MPAJ Keluarkan Kompaun Terhadap Penjaja Tanpa Lesen
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah mengeluarkan kompaun terhadap penjaja tanpa lesen di sekitar kawasan pentadbiran Taman Melawati bermula 25 April hingga 27 April lalu.
Menerusi muat naik di laman Facebook, MPAJ memaklumkan pelaksanaan pemantauan berterusan tersebut bagi memastikan semua pihak terlibat mematuhi peraturan dan undang-undang demi menjaga keharmonian setempat.
“Sepanjang aktiviti pemantauan, MPAJ telah mengenal pasti beberapa lokasi aktiviti menjaja tanpa lesen yang menyebabkan gangguan awam.
“Susulan itu, satu kompaun telah dikeluarkan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil MPAJ 2007 bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk terjamin,” maklum MPAJ.




Dalam pada itu, pihak majis juga menyatakan sokongan terhadap inisiatif pembangunan usahawan tempatan sebagai pemacu ekonomi komuniti.
“Namun demikian, kami amat berharap agar semua pihak dapat mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan demi menjaga keharmonian bersama,” tambahnya.
BACA: Ingat Kena Marah, Rupanya Pak “Guard” Nak Tahu Pasal Kamera Polaroid
Sementara itu, pihak MPAJ turut mengatur satu pertemuan bersama pihak berkenaan.
“Satu sesi pertemuan telah diatur dengan pihak berkaitan untuk berbincang dan mencari penyelesaian yang terbaik agar situasi seumpama ini tidak berulang dan tidak menjejaskan ketenteraman awam selain usaha membantu pembangunan usahawan tempatan sebagai langkah proaktif,” jelasnya.


Menerusi kenyataan yang sama, pihak MPAJ menzahirkan iltizam pihaknya dalam memperkukuh kerjasama yang melibatkan seluruh komuniti. Kerjasama ini diharap menjadi usaha dalam membina persekitaran yang lebih selamat, teratur dan sejahtera.
Setakat hari ini, tiada makluman lanjut berkenaan perbincangan susulan tersebut.
Orang ramai digalakkan untuk menyalurkan aduan kepada pihak MPAJ menerusi pautan https://mpaj.spab.gov.my/eApps/system/index.do atau hubungi talian 1-800-22-8100.
Sumber: Facebook Majlis Perbandaran Ampang Jaya
BACA: Petugas MPD Didakwa Guna Kedudukan Beri Tender Kepada Syarikat Ahli Keluarga, Rakan
BACA: PTPTN Umum 4.05% Dividen Simpan SSPN Bagi Tahun 2024, Tertinggi Dalam Tempoh 10 Tahun