Schola Melancarkan Platform Baharu Penjelajahan Kerjaya Percuma untuk Membantu Pelajar Malaysia Menemui Laluan Masa Depan Mereka
KUALA LUMPUR, 30 April 2025 – Schola, platform penjelajahan kerjaya digital percuma pertama di Malaysia untuk pelajar sekolah menengah, telah dilancarkan secara rasmi hari ini di The Grounds, MAHSA Avenue, Kuala Lumpur. Pelancaran ini diadakan bersempena dengan “Kepoh Kerja dengan Schola”, sebuah festival penemuan kerjaya yang menampilkan lebih daripada 50 orang profesional serta disertai hampir 700 orang peserta. Festival ini menyediakan pelbagai aktiviti yang direka khas untuk membantu golongan muda meneroka dan memahami laluan kerjaya sebenar.
Dibangunkan oleh Creador Foundation, Schola dibina untuk menjawab satu persoalan penting: Bagaimana pelajar boleh membuat keputusan yang tepat tentang masa depan mereka jika mereka belum terdedah kepada pilihan kerjaya yang wujud? Statistik menunjukkan satu trend yang membimbangkan, di mana 8 daripada 10 pelajar sekolah menengah di Malaysia tidak mempunyai pengetahuan asas tentang kerjaya yang mereka pilih atau impikan; 7 daripada 10 tidak membuat penyelidikan aktif tentang pilihan kerjaya; dan 6 daripada 10 membuat pilihan kerjaya berdasarkan faktor jangka pendek.
“Pelajar sering ditanya apa yang mereka ingin jadi apabila dewasa — oleh itu, matlamat kami adalah untuk mengubah fokus dengan memastikan pendedahan kerjaya bermula lebih awal,” kata Maha Subramaniam, Naib Presiden Creador Foundation dan Ketua Schola. “Kami telah berbual dengan lebih daripada 1,000 orang pelajar, dan satu corak yang jelas muncul: tumpuan utama terhadap penjajaran kerjaya biasanya hanya berlaku hampir dengan waktu tamat pengajian, berdasarkan kursus yang telah dipilih. Kami ingin mengubah cara berfikir ini, dengan memperkasakan pelajar untuk meneroka laluan kerjaya secara proaktif lebih awal, dan memilih kursus yang benar-benar selari dengan minat serta cita-cita mereka sejak dari awal lagi.”
Melalui temu bual mendalam dengan 230 orang profesional daripada pelbagai industri, Schola telah membangunkan lebih daripada 150 panduan kerjaya yang memberikan pelajar pandangan sebenar tentang dunia pekerjaan. Pengguna boleh mengambil kuiz personaliti kerjaya yang mudah dan menyeronokkan untuk memadankan mereka dengan pelbagai pilihan pekerjaan, memadankan subjek kegemaran mereka dengan pilihan kerjaya yang berpotensi, serta menapis laluan untuk meneroka bidang STEM dan TVET.
Sejak diperkenalkan dalam versi beta pada Ogos 2024, Schola telah mencapai lebih daripada 190,000 pengguna di seluruh negeri, menjana 4.7 juta tontonan organik di media sosial, dan telah mendapat sokongan daripada 2,300 orang guru di seluruh negara.
Semasa majlis pelancaran, Shanthi Kandiah, pelindung, Creador Foundation, berucap, “Dengan menggalakkan pelajar untuk mempertimbangkan bidang pengajian dan kerjaya masa depan mereka lebih awal, kami berhasrat untuk membantu mereka membayangkan peluang yang lebih luas di hadapan. Schola komited untuk memupuk perspektif jangka panjang ini dalam kalangan anak muda, serta menawarkan sokongan melalui apa jua rintangan yang mungkin mereka hadapi.”
Acara hari ini menyambut kehadiran pelajar dari 10 buah sekolah, termasuk pelajar daripada pelbagai NGO komuniti dan pendidikan di sekitar Lembah Klang, bersama para pendidik, pencipta kandungan, dan pemimpin belia. Majlis pelancaran ini dikendalikan oleh hos televisyen Ceddy Ang, dan menampilkan tokoh-tokoh utama seperti pencipta kandungan Amin x Abid, serta sesi panel bersama pakar pendidikan yang membincangkan mengapa pelajar masa kini menghadapi kesukaran dalam membuat keputusan kerjaya.
Seiring dengan pelancaran tersebut, acara “Kepoh Kerjaya dengan Schola” turut menampilkan reruai Ask-Me-Anything “Apa Kata Pakar” dengan kehadiran profesional dari lebih 40 bidang kerjaya dalam pelbagai industri, kuiz personaliti kerjaya dan permainan realiti kewangan, serta ruang bergambar yang direka untuk mencetuskan rasa ingin tahu dan keyakinan diri.
Kepercayaan teras Schola ialah bahawa seseorang tidak boleh memilih sesuatu yang mereka tidak kenal. Dengan sokongan daripada para pendidik, profesional industri, dan rakan komuniti, Schola berharap dapat terus memperluaskan kefahaman tentang kerjaya kepada semua pelajar — terutamanya mereka yang mungkin tidak mempunyai akses kepada peluang ini.
“Ini bukan sekadar platform panduan kerjaya biasa,” tambah Maha. “Ia dibangunkan oleh anak-anak muda Malaysia yang baru sahaja melalui soalan-soalan yang sama. Mereka mencurahkan usaha sepenuh hati untuk membina sesuatu yang benar-benar berkesan, kerana mereka tahu bagaimana rasanya berada dalam ketidakpastian — memberikan peluang kepada pelajar untuk meneroka potensi yang belum diterokai dalam mencari laluan kerjaya yang tepat.”
Untuk mengetahui lebih lanjut, Schola menjemput para pelajar, guru, dan ibu bapa untuk melayari schola.org.my. Untuk kerjasama yang berpotensi, termasuk NGO, rakan industri, dan sistem sekolah, sila hubungi kami di [email protected].