Ed Sheeran Umumkan Album Baru ‘Play’ Dikeluarkan Pada 12 September 2025
KUALA LUMPUR, 2 MEI 2025 – Ed Sheeran telah mengumumkan album baharunya ‘Play’ akan dikeluarkan pada 12 September 2025. (Pra -Tempah di sini). Untuk menandakan peristiwa berkenaan beliau telah mengeluarkan single baru ‘Old Phone’ (Dengar di sini ).
Selepas menutup lembaran siri album Mathematics, Ed Sheeran kini kembali dan melangkah berani ke fasa baharu pada tahun 2025. Sebagai seorang artis yang sentiasa berkembang, album terbaharunya yang berjudul ‘Play’ menyaksikan Sheeran meneroka landskap muzik baharu melalui kolaborasi bersama penerbit dan pemuzik dari seluruh dunia, di samping menyelami lebih dalam bunyi dan tema abadi yang telah menjadikannya antara artis pop paling disayangi di dunia. Sebahagian inspirasi album ini hadir daripada pendedahan Sheeran kepada budaya muzik India dan Parsi — serta hubungannya yang tidak disangka dengan tradisi muzik rakyat Ireland yang menjadi sebahagian daripada akar muzik beliau sejak kecil menerusi persamaan dalam skala, ritma, dan melodi. Sheeran meneroka bahasa muzik tanpa sempadan ini, sekali gus memberikan sentuhan unik dan segar kepada album tersebut.
Dalam suasana yang lebih dikenali, Sheeran turut mengingatkan kita mengapa beliau kekal sebagai penyanyi-penulis lagu paling berpengaruh dalam generasinya, dengan rangkaian balada memukau serta lagu-lagu akustik yang mendalam. Hasilnya ialah sebuah koleksi yang menggabungkan unsur yang biasa dan baharu, membentuk bunyi pop yang berani dan hanya mampu disampaikan oleh Ed Sheeran — sebuah paparan seni yang bertenaga, mendebarkan, dan penuh transformasi, serta dijangka menjadi antara album paling berpengaruh tahun ini.
Ed berkata… “Play ialah sebuah album yang lahir sebagai tindak balas terus terhadap fasa paling gelap dalam hidup saya. Selepas melalui semua itu, saya hanya mahu mencipta sesuatu yang penuh kegembiraan dan warna-warni — sambil meneroka budaya di negara-negara yang saya lawati ketika menjelajah. Saya merakam album ini di serata dunia, dan menyudahkannya di Goa, India — di mana saya mengalami antara hari-hari paling menyeronokkan dan penuh eksplorasi dalam hidup saya sebagai seorang pengkarya. Album ini ibarat satu perjalanan rollercoaster emosi dari awal hingga akhir.
Ia merangkumi segala yang saya cintai tentang muzik — keriangannya, keindahannya — dan pada masa yang sama mencerminkan dimana saya berada dalam kehidupan, sebagai seorang insan, pasangan, dan juga bapa. Ketika memulakan kempen album ini, saya berpesan kepada diri sendiri: ‘Saya hanya mahu segala yang saya lakukan kali ini bersifat menyeronokkan dan penuh bermain.’ Sebab itulah kami bina pub untuk sesi jamming rakyat, buat persembahan di atas bas dua tingkat terbuka, dan menyanyi dengan topi koboi merah jambu di atas bar. Semakin saya meningkat usia, semakin saya mahu menikmati setiap detik — dan menghargai saat-saat yang gila dan kacau-bilau. Anda kini boleh membuat pra-tempahan Play, dan banyak lagi perkara ceria bakal menyusul sebelum ia dilancarkan x”.
Selepas kejayaan lagu pop globalnya yang hedonistik dan penuh warna ‘Azizam’, Ed Sheeran kembali bernostalgia menerusi single terbarunya ‘Old Phone’, yang mengisahkan kekeliruan emosi apabila berhubung semula dengan masa silam. Dengan menghidupkan semula sebuah telefon lama yang tidak digunakan sejak tahun 2015, Sheeran menemui semula mesej-mesej daripada sahabat yang telah lama hilang, pertengkaran dengan bekas kekasih, serta kenangan bersama ahli keluarga yang semakin menjauh — memperlihatkan bagaimana masa dan perpisahan boleh membentuk semula identiti seseorang.
Menggabungkan melodi akustik yang penuh nostalgia dengan emosi yang mentah dan tulus, lagu ini mengimbau akar penulisan lagu awal Ed sambil menyelami tema pertumbuhan dan memori. Ia menangkap potret seorang artis yang dibentuk dan diubah oleh masa lalunya.
‘Old Phone’ dihasilakan oleh Blake Slatkin dan Ilya Salmanzadeh.