Jadi Topik Hangat Media Sosial: Siapa Lebih Unggul, Gorila atau 100 Lelaki
Baru-baru ini, perbincangan teori mengenai perbandingan kekuatan antara seekor gorila dan 100 lelaki tanpa senjata menarik perhatian ramai di media sosial.
Saintis Dedah Siapa Pemenangnya
Presiden dan Ketua Pegawai Saintifik di Dian Fossey Gorilla Fund, Dr. Tara Stoinski dalam satu wawancara bersama USA Today memberitahu kekuatan gorila sering dilebih-lebihkan dalam cerita popular.
https://x.com/AndreSargeant/status/1916887072465641529
“Saya pernah terbaca di beberapa sumber yang mengatakan teori mereka (seekor gorila) 25 kali lebih kuat daripada manusia. Tapi saya tak pasti dari mana datangnya angka ini. Tak masuk akal,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa gorila sememangnya haiwan yang sangat kuat.
Dari sudut biologi dan strategi, Dr. Stoinski berpendapat bahawa seekor gorila mungkin tidak berdaya berdepan dengan 100 orang lelaki dalam satu-satu masa jika semuanya mempunyai strategi dan berkoordinasi.
“Saya fikir dari segi keupayaan dalam pertarungan yang lama, seekor gorila mungkin akan penat, ditambah pula dengan kerjasama 100 lelaki, tidak akan memberikan kelebihan pada gorila itu,” katanya.
Menurutnya lagi, faktor bilangan memainkan peranan penting dalam perkara ini.
“Kalau gorila sedang bertarung dengan seorang individu di hadapannya, ada yang boleh menyerang dari belakang. Manusia boleh bergilir-gilir serang.
“Jadi dari segi daya tahan, manusia jauh lebih unggul berbanding seekor gorila yang perlu bertarung secara berterusan selama berjam-jam,” katanya lagi.
Meskipun memberikan pendapat dalam topik hangat itu, Dr. Stoinski dalam masa yang sama menyeru masyarakat agar tidak lupa dengan isu sebenar, ancaman kepupusan gorila.
“Pertarungan sebenarnya adalah berjuang untuk kelangsungan hidup mereka (gorila),” katanya sambil menambah kebanyakan spesies itu diancam kepupusan akibat campur tangan manusia.