Resipi Mi Kari Putih, Rasa Macam Makan Kat Kedai
Mi merupakan antara makanan yang paling digemari ramai kerana sangat mudah disediakan, ia juga senang diolah dalam pelbagai cara.
Daripada mi goreng, mi sup, mi kari sehinggalah ke mi celup, semuanya mempunyai keunikan rasa tersendiri.
Di Malaysia, mi merupakan sebahagian daripada makanan harian yang sesuai dinikmati pada bila-bila masa.
Kepelbagaian jenis mi seperti mi kuning, bihun, kuey teow dan laksa, hidangan ini sentiasa boleh disesuaikan mengikut selera masing-masing.
Ringkas, lazat dan serba boleh, itulah keistimewaan mi dalam dunia dan budaya kulinari.
Jadi hari ini SK akan kongsikan resipi Mi Kari Putih yang dimuat naik oleh pengguna Facebook Eny Yusnizar Abdullah.
Penyediaan Mi Kari Putih
Resipi ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu penyediaan sambal, penyediaan kuah putih dan juga komponen pelengkap.
Bahan-bahan yang diperlukan dalam resipi ini ialah mi kuning, rempah kari daging, cili kisar, bawang besar, bawang putih, halia, udang kering tanpa kulit, serai, minyak, udang, lengkuas, daun bawang, fishball, fishcake, tauhu kembung dan santan.
Tidak lupa juga komponen pelengkap yang diletakkan di atas mi iaitu tauge, isi ketam beku, kacang panjang dan daun bawang.
Pertama sekali adalah penyediaan sambal yang dimulakan dengan bahan kisar yang terdiri daripada dua ulas bawang besar, lima ulas bawang putih, satu inci halia dan satu sudu besar udang kering tanpa kulit.
Panaskan minyak dalam kuali dan tumis satu batang serai yang diketuk sebelum memasukkan bahan kisar, empat sudu besar rempah kari daging dan lima sudu besar cili kisar.
Bagi menyedapkan rasa, jangan lupa juga untuk masukkan garam, gula dan juga secukup rasa.
Sementara menunggu sambal pecah minyak, anda boleh mula menyediakan kuah putih dengan merebus kepala dan kulit udang untuk membuat stok udang.

Tambah sedikit air ke dalam stok udang dan didihkannya seketika sebelum memasukkan dua batang serai dan dua inci lengkuas yang diketuk serta tiga batang daun bawang.
Reneh kuah selama 30 minit sebelum masukkan satu kotak santan dan kacau hingga rata sebelum fishcake, fishball dan tauhu kembung dimasukkan.
Selepas sudah melengkapkan rasa kuah dengan garam, gula dan secukup rasa, taburkan daun bawang ke atas kuah.

Sebelum dihidang, anda perlu menyediakan komponen pelengkap dengan mencelurkan mi kuning, tauge, isi udang, isi ketam beku dan kacang panjang.
Akhirnya, hidangkan Mi Kari Putih bersama semua bahan-bahan yang sudah disediakan.
Selamat mencuba.
BACA: Ramai Tanya, Mdno Kongsi Sebab Berhenti Kerja Tetap
BACA: Pasukan Pancaragam SK Kuala Ketil Berentap Dalam Pertandingan Antarabangsa
BACA: Meremang, Wanita Kongsi Pengalaman Seram Ketika Pergi Buat “Job” Henna
Sumber: Eny Yusnizar Abdullah via Facebook