Siakap Keli
Juara Bertahan NEW ERA Menjuarai PMNC Malaysia Musim Panas 2025
Gambar Hiasan

Juara Bertahan NEW ERA Menjuarai PMNC Malaysia Musim Panas 2025

Juara Bertahan NEW ERA Menjuarai PMNC Malaysia Musim Panas 2025

KUALA LUMPUR, 5 Mei 2025 – Kejohanan PUBG MOBILE National Championship (PMNC) Malaysia Musim Panas 2025 telah melabuhkan tirainya dengan pertunjukan hebat penuh kemahiran dan ketekunan, sekali gus melonjakkan bakat baharu ke persada eSukan serantau. Pasukan NEW ERA (NWE) dan MAQNA ESPORTS CLUB (MEC) berjaya mempertahankan kedudukan mereka dan sekali lagi akan bertanding di PUBG MOBILE Super League (PMSL) SEA Musim Panas yang akan berlangsung di Indonesia. Dalam kategori Solo pula, 27LAMINA mempersembahkan kehebatan individu apabila menguasai pertandingan dan membawa pulang hadiah utama.

Kejohanan berkenaan menyaksikan penyertaan yang mengagumkan dengan lebih daripada seribu pasukan, mewakili pelbagai kampus universiti dan organisasi amatur dari seluruh Malaysia. Para juara harapan berkenaan bertarung sengit sepanjang pusingan kelayakan untuk merebut peluang menempatkan diri dalam 10 pasukan terbaik di Grand Final serta berkongsi habuan wang tunai berjumlah RM10,000. Pertarungan menjadi lebih sengit di pusingan akhir apabila mereka terpaksa berdepan pasukan ternama dan pencabar utama tahun lalu: MEC, NWE, AZ SLUMBER (AZ), dan DX STREAM (DX).

NWE mengekalkan kepercayaan terhadap barisan pemain yang sama dan menguasai Grand Final untuk muncul sebagai Juara layak. Pasukan ini menjadi yang pertama mencapai peraturan Smash apabila berjaya mengutip mata sasaran sebanyak 129 seawal perlawanan pertama pada hari terakhir dengan kemenangan Winner Winner Chicken Dinner (WWCD), dan mengukuhkannya sekali  lagi  dalam perlawanan yang ketiga.

MEC hampir meraih kedudukan tempat pertama, namun terlepas sasaran mata smash hanya dengan satu mata dalam perlawanan pertama. Mereka berjaya kembali ke kedudukan tersebut dalam perlawanan kedua, tetapi gagal mengekalkan rentak selepas NWE menamatkan segalanya dalam perlawanan terakhir. MEC menampilkan barisan pemain yang meyakinkan apabila kepulangan VOKEY dan AMAZAL bersama-sama mengukuhkan prestasi mereka yang layak untuk mencabar pasukan lawan lain di rantau SEA.

DX mengalami perubahan besar untuk kejohanan kali ini dengan kemasukan empat ahli baharu, termasuk bakat muda terbaharu mereka, RIOO, yang digelar sebagai ‘Best Players in Sarawak’. Pada hari pertama, mereka mencatat rekod tertinggi dalam sejarah PMNC apabila meraih kemenangan WWCD dengan 28 penyingkiran, 14 daripadanya disumbangkan oleh RIOO. Walaupun mereka tidak berjaya menemui rentak yang tepat untuk merebut dua slot teratas ke PMSL SEA, ini merupakan peluang besar bagi pasukan PMSL SEA untuk mengenal pasti dan merekrut pemain berpotensi seperti RIOO dan ramai lagi. Adakah dia akan kembali membuat penampilan dalam pentas profesional serantau terbaik?

Kategori Solo memukau penonton apabila seramai 833 pemain individu mempamerkan kehebatan mereka dalam menguasai pelbagai senjata dalam PUBG MOBILE. Sepanjang pusingan kelayakan, para pemain berbakat ini bersaing sengit untuk merebut gelaran “Winner Winner Chicken Dinner” serta sebahagian daripada hadiah wang tunai berjumlah RM3,000. Persaingan yang sengit ini turut menjadi medan pencarian utama bagi pasukan eSukan yang bekerjasama untuk mengenal pasti dan merekrut bakat baharu yang berpotensi.

Grand Final kategori Solo menyaksikan pertarungan sengit antara 27LAMINA dan KIDZJA. Dalam perlawanan yang amat kompetitif, 27LAMINA mempamerkan ketepatan tembakan jarak jauh yang luar biasa di peta keempat, sekali gus meraih kemenangan meyakinkan dan gelaran juara SOLO. Walaupun prestasinya amat memberangsangkan, komuniti eSukan masih menantikan sama ada beliau akan disunting oleh pasukan profesional yang bekerjasama.

Eugene Chin, Pengurus Negara (Malaysia) bagi Tencent Games berkata, “Sungguh mengujakan melihat bakat-bakat hebat yang telah menyerlah melalui kejohanan ini. PMNC ditubuhkan bagi memupuk bakat tempatan dan membuka peluang untuk mereka bersaing di peringkat antarabangsa. Tahniah kepada semua pemenang dan semoga berjaya dalam Kejohanan PMSL SEA Musim Panas 2025.”

“Komitmen Tencent Games adalah untuk menyokong pertumbuhan arena eSukan tempatan serta menyediakan peluang kepada pemain Malaysia untuk bersaing di pentas global. PMNC berperanan sebagai platform penting dalam mencungkil dan membangunkan bakat yang berpotensi dalam komuniti PUBG MOBILE negara,” tambah beliau.

Kejohanan PUBG MOBILE National Championship (PMNC) MY Musim Panas 2025 dianjurkan oleh PUBG MOBILE. Untuk maklumat lanjut mengenai PUBG MOBILE, sila lawati platform rasmi PUBG MOBILE:

Laman PUBG MOBILE Malaysia Laman PUBG MOBILE ESPORTS Malaysia
● Facebook: PUBG MOBILE Malaysia ● Facebook: PUBG MOBILE Esports Malaysia
● Instagram: @pubgmobilemyofficial ● Instagram: @pubgmobile.esports.my
● TikTok: @pubgmofficialmy ● TikTok: @pubgmobile.esports.my
● Youtube: PUBG MOBILE Malaysia

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.