Anak & Isteri Dijangkiti TB, Lelaki Kongsi Pengalaman Pahit Sekeluarga
Sudah lama negara kita tidak mendengar berita mengenai penyakit tuberkulosis atau singkatannya TB. Penyakit batuk kering ini bukan seperti batuk biasa. Ia merupakan jangkitan bakteria yang tersebar melalui udara, kemudian menyerang dan memusnahkan tisu.
Kebanyakan mereka yang dihidapi penyakit TB tidak menyedari jangkitan disebabkan bakteria TB belum aktif secara klinikal, menurut Hello Doktor. Bakteria ini hanya akan menunjukkan simptom selepas beberapa tempoh tertentu.
Disebabkan itu, ramai antara kita yang menganggap batuk berpanjangan tanpa sebarang simptom yang teruk sebagai batuk biasa. Seperti juga salah seorang pengguna Facebook ini, yang dikenali sebagai Ilham ArRaduan apabila isterinya mengalami batuk-batuk berpanjangan.
Menurut lelaki berkenaan ketika ditanya SK, dia sememangnya tidak menyangka bahawa isteri menghidap penyakit TB.
“Betul, lama tak dengar pasal TB sampai lah isteri dengan anak saya kena. Waktu isteri saya masuk wad tu, ada orang katil depan katil isteri, muda lagi. Kali kedua kena TB dan meninggal waktu saya masih ada, nak ambil susu anak,” ujarnya.
Berkongsi berkenaan pengalamannya, lelaki tersebut terpaksa berulang-alik dari hospital disebabkan anaknya ketika itu masih memerlukan susu badan. Biarpun isteri sudah mendapatkan rawatan di hospital, namun segalanya sudah terlambat apabila anaknya pula disahkan menghidap penyakit TB. Ikuti perkongsian Ilham secara lebih terperinci di bawah.
Isteri saya, Suraya Razali telah disahkan positif TB pada 1 Mac 2024 setelah hampir dua bulan merana dengan batuk yang tidak henti-henti sehinggakan separuh badan sebelah kiri (di kawasan bahu ke pinggang) terasa sakit walaupun hanya dipegang biasa.
Ketika itu, saya agak kesal kerana tidak terlintas langsung untuk membuat pemeriksaan TB sedangkan tahun 2023 pernah menjalani pemeriksaan TB kerana batuk yang lambat sembuh, tambahan pula dalam tempoh isteri saya batuk tersebut, sudah beberapa kali ke klinik swasta. Doktor hanya berikan antibiotik namun tidak berkesan dan tiada langsung saranan untuk melakukan pemeriksaan TB.
Pada ketika itu juga, anak kami baru berusia setahun dua bulan dan masih menyusu badan sejak dari lahir. Anak sudahpun terdedah dengan penyakit tersebut dan akhirnya disahkan juga positif TB dua bulan selepas itu namun tiada sebarang gejala.
Pemeriksaan yang dilakukan menggunakan sampel kahak. Bayangkan kanak-kanak berumur setahun tidak pandai buang kahak dan sampel kahak yang diambil secara manual dengan memasukkan tiub melalui hidung, x-ray dan mantoux test. Melalui x-ray didapati ada kuman TB di paru-paru dan mantoux test menunjukkan reaksi adanya kuman TB. Namun sampel kahak adalah negatif. Oleh kerana dua daripada tiga ujian tersebut ada kehadiran kuman TB maka anak kami juga disahkan perlu menjalani rawatan dengan pengambilan ubat TB.
Kembali kepada isteri saya, setelah hampir sebulan mengambil ubat TB, disahkan pula ada alahan ubat TB dan dimasukkan ke wad Institut Perubatan Respiratori (IPR) yang dahulu dikenali sebagai Pusat Tibi Negara untuk mengesan jenis ubat yang memberikan alahan kepadanya. Setelah beberapa minggu akhirnya keputusan menunjukkan isteri saya ada alahan pada salah satu ubat TB iaitu Rifampicin.
Masih ingat lagi ketika itu, bulan puasa dan isteri saya discaj dari wad sehari sebelum hari raya. Namun kemudian, masuk semula ke wad IPR pada hari raya ketujuh. Hampir sebulan juga saya berulang alik dari rumah ke IPR untuk mengambil stok susu yang diperah oleh isteri dan menggantikan ais yang digunakan untuk menjaga ketahanan susu tersebut.
Sepanjang berulang alik tu juga, jururawat di sana hampir kenal saya dan boleh masuk tanpa perlu diperiksa terlebih dahulu. Ada juga jururawat pesan pada saya, “Encik, harap anak encik tiada alahan ubat macam maknya. Jika ada alahan ubat pada kanak-kanak, tersangatlah susah untuk merawatnya.”
Saya hanya senyum dan berdoa dalam hati supaya dikabulkan doa jururawat itu. Maka setelah dikenal pasti ubat yang menjadi alahan, isteri saya dibenarkan keluar sepenuhnya dari wad dalam bulan Syawal dan hanya mengambil ubat yang tiada alahan sahaja serta meneruskan pemeriksaan berkala di klinik pakar IPR.
Dalam pada itu, setelah anak kami disahkan positif, maka bermulalah perjalanan memberi ubat TB setiap pagi. Ubat tersebut perlu dihancurkan dan dibancuh dengan air terlebih dahulu sebelum diberi kepada anak saya. Cabaran kan bagi ubat pada anak kecil? Setiap pagi adalah drama air mata.
Saya ada hubungi bahagian aduan SISPAA dan bertanya mengapa tak diberi ubat dalam bentuk cecair kepada anak saya? Alhamdulillah bahagian SISPAA menjawab dan menerangkan sebab ubat yang diberi bukan dalam bentuk cecair adalah untuk memelihara ketahanan dan kestabilan ubat. Memandangkan tempoh pengambilan ubat yang panjang, ubat dalam bentuk tablet dan kapsul lebih sesuai.
Syukur ke hadrat Ilahi, Disember 2024 anak saya berjaya sembuh dan ditamatkan pengambilan ubat TB namun masih perlu pemeriksaan berkala di Hospital Tuanku Azizah (HTA) Kuala Lumpur.
Oh ya, buat pengetahuan semua, pengambilan ubat TB bagi dewasa, perlu diambil di hadapan Pegawai Perubatan setiap pagi.
Situasi isteri saya, setiap pagi perlu ke KK Kuala Lumpur pada hari bekerja dan KK Ampang pada hujung minggu untuk makan ubat di hadapan pegawai. Seterusnya pegawai tandatangan dalam buku.
Anak saya, perlu rakam video semasa makan ubat dan hantar ke jururawat KK Ampang setiap pagi.
@ilham.arraduan Alhamdulillah sampai masanya. Hari ini 11 Disember 2024 adalah hari terakhir Hawa makan ubat TIBI setelah lebih 6 bulan menjalani rawatan. Semoga kita semua dijauhkan dan dipelihara dari sebarang wabak penyakit berjangkit 🤲 #tibi #tuberculosis #ipr #awareness
Seminggu sekali perlu ke KK Ampang untuk jururawat tersebut tandatangan dalam buku.
Setelah isteri saya dirujuk oleh IPR, barulah tidak perlu makan ubat di hadapan pegawai dan hanya penjaga atau suami sahaja yang tandatangan dalam buku. Bak kata Doktor Bala dari KK Kuala Lumpur, “itulah kelebihan jika diperiksa oleh IPR”, untuk menyedapkan hati kami ketika itu.
Setelah hampir setahun, giliran isteri saya pula tamat pengambilan ubat TB pada 21 April yang lalu. Namun oleh kerana alahan yang dilaluinya, paru-paru sebelah kiri sudah 80-90% tidak lagi berfungsi. Bak kata doktor IPR, “paru-paru tu takda apa dah, boleh operate dan buang sahaja”.
Doktor di HTA maklumkan, ubat yang isteri saya alah itu, antara fungsinya merawat paru-paru maka dek kerana alahan, paru-parunya tidak terawat.
Hanya kuman TB sahaja yang disingkirkan. Jika dibandingkan x-ray pada Mac 2024 dan x-ray April yang lalu, memang paru-paru isteri saya sama keadaan dan bentuknya, tiada perubahan langsung. Maka hiduplah isteri saya dengan sebelah paru-paru sahaja.
Keputusan seterusnya perlu tunggu panggilan dari HTA dan IPR untuk melakukan CT Scan dan pengesahan tindakan lanjut untuk paru-parunya.
Akhir kata, TB bukanlah penyakit main-main. Sekiranya anda batuk melebihi dua minggu, buatlah pemeriksaan TB bagi memastikan rawatan awal dapat dijalankan untuk mengelakkan situasi seperti isteri saya, malah lebih teruk boleh membawa maut. Betapa bahayanya TB, ia didaftarkan di bawah Akta 342 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Sekiranya anda mengingkari rawatan TB, anda boleh didakwa di bawah akta tersebut. Sudahlah sakit, kena dakwa pula.
Saya tidak menafikan pengalaman yang kami lalui ini pada awal dan pertengahannya amatlah perit. Namun syukur kerana kami dapat menjalaninya dengan mudah dan akhirnya menjadi sesuatu yang manis boleh kami kenangkan dan jadikan pengajaran. Terima kasih juga kepada saudara-mara, sahabat-sohabiah dan kenalan membantu memanjat doa buat bekal kesabaran dan kekuatan kami dalam menjalani ujian ini serta ada juga yang menyumbang dalam bentuk wang dari rezeki yang barakah menambahkan lagi keberkatan kesihatan kepada kami.
Sumber: Ilham ArRaduan
BACA: Raja Thailand Terbangkan Boeing, Mendarat Di Landasan Paling Mencabar Dunia
BACA: Ibu Dedah Saranan Pakar Mata Selepas Perasan Anak Buat Gaya Pelik Bila Nak Fokus