Hujan Lebat Di Kebanyakan Negeri Petang Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat meliputi 12 negeri dan dua Wilayah Persekutuan (WP) sehingga 5 petang ini.
Amaran yang dikeluarkan jabatan berkenaan menjangkakan seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor bakal menerima hujan lebat. Begitu juga bagi WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya.
Keadaan cuaca di Perak menunjukkan hujan lebat dan ribut petir bakal melanda daerah Kerian, Larut, Matang Dan Selama. Daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim juga tersenarai bakal dilanda hujan lebat.
Beralih ke pantai timur, beberapa daerah di Kelantan menerima amaran hujan lebat termasuk Kota Bharu, Jeli, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai. Di Terengganu, daerah Besut, Hulu Terengganu, Marang dan Dungun turut dijangka alami hujan lebat. Manakala di Pahang, Met Malaysia menjangkakan hujan lebat di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Pekan dan Rompin.
Turun ke Negeri Sembilan, ramalan cuaca menunjukkan hujan lebat bakal melanda Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin.
Begitu juga di Johor yang melibatkan Segamat, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian dan Kota Tinggi.
Beralih ke Sarawak, Met Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat terhadap daerah Sibu (Selangau), Mukah (Mukah), Bintulu dan Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi). Sementara itu di Sabah, hujan lebat dijangka melanda Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan) dan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud). Amaran tersebut turut menyenaraikan daerah Tawau (Tawau, Semporna dan Lahad Datu), Sandakan (Tongod) dan Kudat.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” maklum Met Malaysia.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihat merancang perjalanan dengan baik dan ikuti langkah keselamatan ketika berada di luar.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia)
BACA: Monsun Barat Daya Dijangka Bermula 10 Mei – MetMalaysia
BACA: Kes Faisal Halim Diklasifikasikan Sebagai NFA – Peguam