Konflik India-Pakistan: 43 Orang Terkorban
Muzaffarabad – Sekurang-kurangnya 43 kematian dilaporkan susulan konflik yang berlaku antara Pakistan dan India apabila kedua-dua negara melancarkan serangan peluru berpandu, lapor AFP.
Islamabad memaklumkan seramai 31 orang awam terkorban akibat serangan India di sempadan. Manakala sekurang-kurangnya 12 maut akibat bedilan peluru berpandu Pakistan, menurut New Delhi.
Pakistan memulakan serangan balas selepas India melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sempadan kedua-dua negara berkenaan. Pertempuran yang mencatatkan 43 kematian ini menjadi insiden terburuk persengketaan India-Pakistan semenjak dua dekad lalu. Konflik antara kedua buah negara ini bermula sejak mendapat kemerdekaan daripada pemerintahan British pada 1947.
Pertempuran sejak dua minggu lalu ini tercetus apabila India mendakwa Pakistan bersalah kerana menyokong serangan ke atas Kashmir. Namun, Pakistan menyangkal tuduhan tersebut.
Tentera India menyifatkan keadilan telah ditegakkan setelah sembilan kes pengganas dimusnahkan. Kerajaan India turut menegaskan bahawa operasi yang dijalankan adalah terarah, terkawal dan tidak bersifat provokatif.
Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif mendakwa serangan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi itu bertujuan mengukuhkan populariti politik dalam negaranya. Beliau turut menambah, Pakistan tidak akan mengambil masa yang lama untuk membalas serangan tersebut.
Jurucakap tentera Pakistan, Ahmed Sharif Chaudhry berkata lima jet India telah ditembak jatuh di sempadan pada waktu malam. Menurut sumber pegawai keselamatan kanan India, tiga jet India terhempas di wilayah sendiri.
Sementara itu, tentera Pakistan melaporkan empat kanak-kanak daripada 13 mangsa terkorban akibat serangan India di sebuah madrasah Islam berhampiran bandar Bahawalpur, Punjab pada Rabu.
Sebuah kompleks kesihatan dan pendidikan kerajaan di Muridke juga musnah termasuk sebuah masjid di Muzaffarabad. Penjaga masjid tersebut dilaporkan turut terkorban.
Pakistan juga mendakwa India menyasarkan sebuah loji jana kuasa hidro di Kashmir sehingga mengakibatkan kerosakan pada struktur empangan. Tuduhan tersebut dilontarkan susulan ancaman daripada India untuk menghalang aliran air di sempadan mereka.
Ancaman tersebut membawa kepada pengeluaran amaran daripada Pakistan yang menyifatkan gangguan sungai yang mengalir ke wilayahnya merupakan salah satu tindakan perang.
Sumber: AFP
BACA: Buaya Betina Seberat 410kg Ditangkap Di Kebun Kelapa Sawit
BACA:Ketegangan India-Pakistan Memuncak Susulan Serangan Terbaharu