Kunjungan Hormat Yam Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Ibrahim Ke KPKT Semarakkan Usaha Pembangunan Komuniti Dan Inisiatif Hijau
PUTRAJAYA, 8 MEI 2025 – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YBhg. Datuk Wira M Noor Azman bin Taib serta warga KPKT berbesar hati atas kesudian YAM Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah binti Sultan Ibrahim mencemar duli ke KPKT, Putrajaya hari ini.
YAM Tunku Tun Aminah yang juga puteri kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah telah meluangkan masa sekitar dua jam di bangunan KPKT dalam lawatan berkenaan. YB Menteri KPKT telah mengadakan sesi perbincangan dua hala bersama YAM Tunku Tun Aminah yang menyentuh pelbagai isu berkaitan pembangunan komuniti, inisiatif hijau, serta kerjasama strategik bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat.
Dalam sesi tersebut, YB Menteri turut mempersembahkan Kad Laporan Pencapaian KPKT bagi tahun 2024 yang berjaya memenangi Anugerah Pembangunan Negara serta merangkumi inisiatif utama dan impak program KPKT kepada rakyat termasuk paparan Program Hari Landskap Negara 2024 pada 25 Mei 2024 yang berjaya mencipta sejarah bila dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan turut dihadiri oleh YAM Tunku Tun Aminah.
YAM Tunku Tun Aminah kemudiannya berkenan meluangkan masa meninjau beberapa aset kebombaan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dipamerkan di pekarangan bangunan KPKT iaitu memberi gambaran kesiapsiagaan dan keupayaan pasukan bomba dalam memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.
YAM Tunku Tun Aminah turut berkenan menerima cenderamata khas dari pihak KPKT yang disampaikan oleh YB Menteri dan seterusnya YAM Tunku Tun Aminah serta rombongan telah diraikan dalam majlis santapan yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh penghormatan.
KPKT amat menghargai lawatan ini dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian YAM Tunku Tun Aminah meluangkan masa bersama warga KPKT. Semoga hubungan baik ini terus membuka ruang kolaborasi yang bermanfaat demi pembangunan komuniti yang inklusif dan sejahtera.