Tentera Pakistan Diberi Kuasa Penuh Lakukan Serangan, Tuntut Bela Kematian Rakyat
Muzaffarabad – Pakistan mengeluarkan amaran akan menuntut bela terhadap kematian rakyatnya susulan serangan udara India dan tenteranya telah diberikan kuasa penuh untuk melakukan serangan, lapor AFP.
Perkara tersebut sekaligus memberi isyarat konflik antara kedua negara ini bakal memuncak, menjadikan ia konflik terburuk dalam tempoh beberapa dekad ini.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menyampaikan perutusan kepada rakyatnya lewat malam Rabu.
“Kami berikrar untuk membalas setiap titis darah mereka yang terkorban,” janji beliau.
Sebelum ini, Islamabad memaklumkan seramai 31 orang awam terkorban akibat serangan India di sempadan. Manakala sekurang-kurangnya 12 maut akibat bedilan peluru berpandu Pakistan, menurut New Delhi.
Kedua-dua pihak berbalas tembakan artileri berat sepanjang Garisan Kawalan (LoC) yang menjadi pemisah wilayah Kashmir. Wilayah tersebut dituntut oleh kedua-dua negara namun ditadbir secara berasingan.
Jurucakap tentera Pakistan, Ahmed Sharif Chaudhry mengesahkan tembakan masih berterusan sepanjang LoC pada malam Rabu. Susulan itu, Islamabad tekad bakal memberi tindak balas kepada serangan udara berkenaan.
“Pakistan berhak untuk bertindak balas demi mempertahankan diri, pada masa, tempat dan cara yang ditentukan sendiri. Tentera sudah diberikan kuasa penuh oleh kerajaan,” tegas beliau.
Sementara itu, pemerhati tentera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tiba bagi menjalankan siasatan terhadap masjid yang didakwa diserang India. Naskhah Al-Quran yang rosak dikutip oleh penduduk tempatan di celah runtuhan konkrit, kayu dan besi.
Manakala penduduk di wilayah Kashmir bawah pentadbiran India melarikan diri berikutan panik menerima tembakan dari Pakistan.
“Ada tembakan dari pihak Pakistan yang merosakkan rumah dan mencederakan ramai. Orang ramai sedang melarikan diri,” kata penduduk kampung Salamabad.
Terdahulu, India melancarkan serangan yang didakwa tindakan balas terhadap serangan angkara satu kumpulan yang diisytiharkan oleh PBB sebagai organisasi pengganas.
Sehubungan itu, jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menasihatkan kedua-dua negara tersebut agar menarik diri dari memulakan peperangan.
“Dunia tidak mampu menanggung konflik ketenteraan antara India dan Pakistan,” katanya.
Sumber: AFP