Tiga Model SUV Kegunaan Lasak Premium Buka Era Gaya Hidup Kembara Baharu di Malaysia Autoshow 2025
Kuala Lumpur, 8 Mei 2025 – Dengan matlamat untuk menempa nama sebagai jenama Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) kegunaan lasak terkhusus, iCAUR telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia hari ini di Malaysia Autoshow 2025 (Pameran Automotif Malaysia 2025).
Melangkah maju untuk mengembangkan operasi di peringkat global, Malaysia kini menjadi pasaran ASEAN pertama untuk memperkenalkan iCAUR —jenama hasil gandingan kukuh antara Chery dan SmartMi Tech – berikutan pelancaran global iCAUR di pameran Auto Shanghai 2025 pada bulan lepas.
“Kebijaksanaan, Inovasi, Interaksi dan paling penting—Born to Play! iCAUR bukan pengangkutan biasa semata-mata; era baharu ini sesungguhnya memperlihatkan keperibadian anda—dicipta untuk pengembara, pelopor trend, anak muda dan juga mereka yang berhati muda,” kata Naib Presiden iCAUR Malaysia, Emily Lek.
“Kami telah bertapak kukuh di Malaysia dan berharap untuk membuka peluang baharu, memanfaatkan kepimpinan kami dalam penyelesaian teknologi dan pengangkutan tenaga baharu,” tambahnya.
iCAUR menceburi pasaran Malaysia dengan wawasan berani: untuk menerajui segmen pasaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) dan menarik perhatian pemandu generasi baharu yang menghargai keperibadian tersendiri dan ekspresi diri yang terpelbagai – menjanjikan inovasi menerusi produk yang menyerlah dan ekosistem serba lengkap.
Di Pameran Automotif Malaysia 2025, iCAUR memperagakan* tiga SUV elektrik sepenuhnya —03, 03T, and V23—membolehkan orang ramai mengintai kehebatan kenderaan ini sebelum pelancaran rasmi kelak. Penerajunya ialah iCAUR 03, model pertama yang bakal dilancarkan pada S3 2025.
*Nota: Model yang dipamerkan adalah unit Pemanduan Tangan Kiri (LHD) berjenama iCAR.

Dicipta untuk kegunaan kota tetapi dibina untuk kaki kembara, iCAUR 03 menggabungkan reka bentuk menonjol dengan prestasi elektrik sepenuhnya dan boleh didapati dalam konfigurasi Pacuan 2 Roda (2WD) dan juga Pacuan Roda Pintar (iWD).
Versi 2WD dipacu oleh motor pemasangan belakang 135kW yang menghasilkan tork 220Nm, dan digandingkan dengan bateri 65.7 kWh LFP untuk menawarkan jarak perjalanan sehingga 426 km (NEDC).
Bagi mereka yang inginkan prestasi tambahan, model iWD menggandingkan motor depan dan belakang yang menghasilkan gabungan 205kW kuasa elektrik dan 385 Nm tork, dengan bateri 69.8 kWj lebih besar dengan jarak perjalanan 418 km (NEDC).
iCAUR 03 memperkenalkan teknologi hak miliknya—iCARE, iBRAND, dan iROAD—yang menghasilkan gabungan sempurna antara keselesaan dan prestasi lasak.
Dibina dari peringkat asas, struktur badan iCARE memaparkan reka bentuk rangka berbilang aluminium penuh dan perisai bateri, menjamin perlindungan optimum bagi kedua-dua penumpang dan bateri sekiranya berlaku perlanggaran.
Ciri iROAD menawarkan cengkaman dan kestabilan kukuh pada semua permukaan, dengan enam mod pemanduan untuk dipilih apabila meredah kesibukan jalan kota dan pengembaraan jalan lasak.
iBRAND menaik taraf pengalaman memandu dengan ciri-ciri premium seperti sistem bunyi 12 speaker INFINITY dan kamera ‘Casis Lutsinar’ 540-darjah untuk tahap keterlihatan menyeluruh di atas apa jua permukaan.
Di atas jalan raya, pemandu terus dihubungkan menerusi kokpit digital canggih iCAUR 03, yang memaparkan skrin pusat sangat lebar 15.6 inci yang digandingkan dengan himpunan instrumen maklumat pemandu 9.2 inci – dua ciri yang dirangkumkan dalam suite teknologi i-VA.
Dari sudut keselamatan, iCAUR 03 dilengkapi dengan ciri-ciri bantuan pemandu lanjutan (ADAS) menerusi perisian bantuan pemandu Tahap 2.5, termasuk Bantuan Pertukaran Lorong, Kawalan Peluncuran Adaptif dan Bantuan Kesesakan Lalu Lintas—semuanya direka untuk menjadikan setiap pemanduan lebih pintar dan lebih selamat.
Keupayaan ini dilengkapi dengan sokongan pengecasan pantas 80 kW (DC), membolehkan iCAUR 03 dicas daripada 30% kepada 80% dalam masa hanya 30 minit. Sama ada anda berulang-alik setiap hari untuk tujuan kerja atau pergi bercuti hujung minggu, SUV elektrik iCAUR bersedia untuk mengembara.

iCAUR Malaysia kini menjemput orang ramai untuk Mendaftar Minat bagi model iCAUR 03 yang bakal dilancarkan. Pelanggan Malaysia boleh mengesahkan tempahan dengan deposit RM1,000 yang boleh dipulangkan sepenuhnya. Pilihan 2WD ditawarkan pada harga anggaran RM145,000, manakala pilihan iWD dijual pada harga kira-kira RM155,000.
Sebagai tawaran eksklusif, pelanggan yang membuat tempahan di Pameran Automotif Malaysia 2025, akan menerima model skala iCAUR 03 edisi terhad apabila kenderaan diserahkan pada S3 2025.
Turut diketengahkan bersama iCAUR 03 ialah dua model tambahan yang memaparkan kepelbagaian dan ciri serba guna rangkaian SUV elektrik kegunaan lasak iCAUR.
iCAUR V23 menerapkan DNA kegunaan lasak klasik dengan inovasi elektrik, membawakan keupayaan di atas jalan raya dan jalan lasak menerusi konfigurasi 2WD atau iWD.
Sementara itu, iCAUR 03T berdiri megah ibarat komander kota – besar, yakin dan perkasa.
Peluasan iCAUR di Malaysia Bermula Sekarang
Sejajar dengan komitmennya kepada Malaysia, iCAUR juga mengumumkan termeterainya perjanjian dengan sebelas rakan pengedar pertama—lebih banyak pengedar akan diumumkan seiring perluasan jenama ke seluruh negara.
Lek terus menekankan bahawa jenama bertekad untuk bertapak kukuh, “Hari ini bukan sahaja menandakan pelancaran jenama—tetapi juga merupakan pengumuman jelas bahawa: iCAUR sudah tiba.”
“Bersama-sama, kami akan membina landasan bagi menjana pertumbuhan, memenuhi janji kami untuk mengutamakan pelanggan, dan berkongsi wawasan kami untuk mewujudkan masa depan automotif yang lebih pintar dan perkasa,” tambahnya.
Terokai rangkaian komprehensif iCAUR di Malaysia Autoshow 2025, Gerai Pameran A07B, Dewan A, MAEPS Serdang dari 9 hingga 15 Mei 2025 (10:00 PG–10:00 MLM).
Pengunjung boleh melihat sendiri rangkaian kenderaan elektrik iCAUR, menguji kemahiran dalam permainan gaya arked klasik seperti Pac-Man dan Raiden, dan merebut peluang untuk memenangi model skala iCAUR 03 edisi terhad dan juga hadiah-hadiah menarik lain.