Panasonic Sasar Berhentikan 10,000 Pekerja Di Seluruh Dunia
Tokyo – Syarikat elektronik gergasi Jepun, Panasonic menyasarkan bakal memberhentikan 10,000 pekerja seluruh dunia sebagai satu usaha meningkatkan keuntungan, lapor AFP.
Pemberhentian pekerja kira-kira empat peratus daripada jumlah besar tenaga kerja syarikat tersebut iaitu hampir 230,000 itu bakal dilaksanakan dalam tahun kewangan semasa sehingga Mac.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, syarikat tersebut akan menyemak semula kecekapan operasi setiap kumpulan syarikat, terutamanya bahagian jualan. Begitu juga bahagian yang tidak terlibat secara langsung dalam penghasilan produk atau perkhidmatan utama. Malah, bilangan organisasi dan kakitangan yang benar-benar diperlukan turut bakal dinilai semula.
“Langkah ini menyasarkan 10,000 pekerja (5,000 di Jepun dan 5,000 di luar negara) di syarikat konsolidasi akan dilaksanakan mengikut undang-undang buruh, peraturan dan perundangan setiap negara dan rantau,” jelas syarikat berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Panasonic Holdings, Yuki Kusumi berkata pemberhentian pekerja ini adalah perlu tanpa memberi perincian skala.
“Ia supaya kami dapat bersaing dengan syarikat lain pada tahap yang kompetitif,” katanya.
Mula dikenali dengan membekalkan peralatan elektronik, Panasonic kini menjadi pembekal bateri utama syarikat kenderaan elektrik Amerika Syarikat, Tesla. Syarikat ini turut beroperasi dalam sektor hartanah, tenaga dan automotif.
Terdahulu, Panasonic mengumumkan satu program pembaharuan pengurusan dalam menyelesaikan pelbagai isu struktur dalam syarikat.
“Melalui pembaharuan pengurusan ini, syarikat menyasarkan peningkatan keuntungan sekurang-kurangnya JPY150 bilion (RM4.44 bilion),” maklumnya.
Panasonic menjangkakan penurunan 15 peratus dalam keuntungan bersih tahun ini menerusi laporan pendapatan tahunan yang dikeluarkan. Laporan tersebut turut menunjukkan kemerosotan jualan sebanyak lapan peratus.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, penurunan keuntungan bersih sebanyak 17.5 peratus kepada JPY366 bilion dicatatkan.
“Syarikat berdepan perubahan berterusan dalam persekitaran perniagaan seperti kelembapan permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV),” tambah syarikat berkenaan.
Sehubungan dengan tarif perdagangan Amerika Syarikat, Panasonic menjelaskan syarikat tersebut tidak mengambil kira kesan tarif dalam ramalan tersebut.
“Syarikat akan terus memantau situasi tarif dan berusaha mengurangkan kesannya melalui tindakan jangka pendek serta strategi jangka sederhana hingga panjang,” katanya.
Sumber: AFP
BACA: Tumor Sebesar Kepala, Adik Hafizur Perlu Bantuan Jalani Pembedahan
BACA: Peguam Mohon AGC Buka Semula Kertas Siasatan Kes Simbah Asid Faisal Halim