Residensi Bandar Ekar, Rantau, Negeri Sembilan Sedia Untuk Didiami
RANTAU, 9 MEI 2025 – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), agensi perumahan mampu milik utama di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), telah mengadakan Majlis Penyerahan Kunci bagi projek Residensi Bandar Ekar, Rantau, Negeri Sembilan.
Projek dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM172 juta ini telah pun menerima Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) pada 25 April 2025 dan Notis Serahan Milikan Kosong (VP) juga telah dikeluarkan pada 2 Mei 2025. Berikutan dari itu, penyerahan kunci kepada pembeli akan bermula secara rasmi pada 16 Mei 2025.
Residensi Bandar Ekar yang dibina oleh kontraktor lantikan PR1MA iaitu Zikay
Synergy Sdn. Bhd. dengan sokongan Vertex Central Industries Sdn Bhd terdiri
daripada 766 unit kediaman teres satu setengah dan dua tingkat, dengan 752 unit
(98%) daripadanya telah terjual. Setiap unit dibina dengan keluasan daripada 1,295
hingga 1,777 kaki persegi. Bagi unit teres 2 tingkat, kediaman ini memiliki 4 bilik tidur dan 3 bilik air, suatu penawaran yang setaraf kediaman oleh pemaju swasta namun dengan harga yang jauh lebih rendah. Harga seunit Residensi Bandar Ekar adalah cukup kompetitif dan mampu milik iaitu bermula daripada RM165 ribu (1 1/2 tingkat) dan RM224 ribu (2 tingkat), serta dilengkapi fasiliti seperti tadika, taska, surau, padang bola sepak, taman permainan serta kawalan keselamatan. Ini menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI terhadap kesejahteraan rakyat dan golongan berpendapatan pertengahan (M40).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PR1MA, YBhg. Datuk Seri Haji Mohd Nazri bin
Md. Shariff berkata, “Penyiapan Residensi Bandar Ekar ini amat penting bagi kami di PR1MA kerana ia melambangkan komitmen kami mengotakan janji kepada para
pembeli. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak,
khususnya KPKT, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, agensi-agensi
teknikal serta para pembeli kediaman Residensi Bandar Ekar sendiri atas
kepercayaan dan sokongan mereka dalam menjayakan projek ini. PR1MA akan terus komited menyiapkan semua baki projek sakit demi kepentingan para pembeli.”
Sehingga April 2025, PR1MA telah berjaya menyiapkan 31 daripada 34 projek sakit
yang merangkumi 20,470 unit kediaman, dan dijangka akan menyelesaikan baki 3
projek sakit lagi menjelang akhir 2025 dengan sokongan penuh daripada pihak KPKT.
“KPKT amat mengambil berat atas tanggungjawab kami untuk memastikan setiap
pembeli Residensi Bandar Ekar menerima kunci kediaman mereka. Oleh itu, kami
telah bekerjasama rapat dengan PR1MA serta agensi-agensi berkaitan untuk menyiapkan projek ini walaupun menghadapi pelbagai kekangan. KPKT akan terus
komited dalam memastikan semua projek perumahan agensi KPKT, termasuk
PR1MA, terus progresif dalam menyediakan kediaman berkualiti dan mampu milik
kepada rakyat Negeri Sembilan dan seluruh negara. Secara keseluruhan, 67%
pembeli residensi PR1MA terdiri daripada masyarakat Bumiputera, 20% penjawat
awam, dan 85% adalah daripada golongan belia berusia bawah 40 tahun.”, kata
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming.
Pada majlis yang sama, PR1MA turut mengumumkan perancangan untuk
melancarkan Fasa 2 bagi projek Residensi Bandar Ekar disebabkan permintaan yang tinggi terhadap kediaman mampu milik di kawasan tersebut. Anak syarikatnya, PR1MA Communications Sdn. Bhd., akan menawarkan pakej peranti rumah pintar bagi unit-unit baharu, sekaligus menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih moden, lestari, dan berdaya huni.
“Residensi Bandar Ekar Fasa 2 ini merupakan satu usaha PR1MA untuk meneruskan dan memperkukuh peranan kami dalam memacu agenda perumahan negara. Kami di PR1MA akan giat berusaha memperkasa pemilikan kediaman dalam kalangan Rakyat Malaysia serta membina komuniti yang sejahtera dan kondusif, seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih progresif”, tambah YBhg. Datuk Seri Haji Mohd Nazri.