Satys dan AIROD Umum Usaha Sama Strategik untuk Memperkukuh Keupayaan Aeroangkasa di Malaysia
TOULOUSE, PERANCIS, 9 Mei 2025 – Satys Aircraft Painting, peneraju global dalam bidang pengecatan dan pengedapan pesawat, menandatangani perjanjian usaha sama penting dengan AIROD Sdn Bhd, syarikat kejuruteraan aeroangkasa terkemuka Malaysia. Majlis menandatangani perjanjian ini berlangsung di Courtyard Marriott, Toulouse, Perancis dan disaksikan oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.
Usaha sama strategik ini dijangka akan meningkatkan keupayaan sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat di Malaysia dengan ketara, terutamanya dalam bidang kemasan luaran dan pengecatan pesawat. Menggabungkan kepakaran Satys dalam bidang kemasan permukaan aeroangkasa dan keupayaan kejuruteraan AIROD, usaha sama ini bertujuan untuk memberi sokongan kepada sektor penerbangan komersial dan ketenteraan di seluruh rantau Asia-Pasifik.
“Kami berbangga dengan jalinan kerjasama strategik ini bersama AIROD,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Satys, Christophe Cador. “Usaha sama ini mencerminkan keyakinan kami terhadap industri aeroangkasa Malaysia dan menjadi penanda aras baharu dalam bidang MRO di rantau ini.”
Majlis pemeteraian kerjasama tersebut turut dihadiri oleh pemimpin kanan dan tetamu kehormat daripada kedua-dua organisasi serta wakil penting Kerajaan Negeri Sarawak, menandakan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memajukan industri aeroangkasa negara.
Pada keseluruhannya, usaha sama ini dijangka akan merangsang penciptaan pekerjaan, pemindahan pengetahuan dan pembangunan kapasiti, sejajar dengan Pelan Induk Aeroangkasa Malaysia serta memperkukuhkan aspirasi Sarawak dalam industri aeroangkasa yang sedang berkembang.